ANUGERAH PELANCONGAN MALAYSIA KE-20 IKTIRAF PENGGIAT INDUSTRI

Baru-baru ini telah berlangsung majlis Anu­gerah Pelancongan Malaysia (APM) ke-20 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Anugerah dwitahunan itu diadakan bagi menghargai dan mengiktiraf para penggiat industri pelanco­ngan tempatan dan antarabangsa atas sumbangan serta pencapaian cemerlang mereka dalam pembangunan produk-produk dan perkhidmatan pelancongan tempatan yang inovatif.

 

Sebanyak 52 anugerah disampaikan bagi edisi ke-20 Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017 kali ini membabitkan 14 kategori utama termasuk dua kategori baru iaitu Pusat Hiburan Terbaik dan Syarikat Penerbangan Terbaik. Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

angerah pelancongan

Anugerah Pelancongan Berprestij

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Perdana Menteri Kategori Individu. Anugerah itu merupakan pengiktirafan besar kepada industri pelancongan Melaka yang telah menyumbang sebanyak 45.9 pe­ratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

 

“Pada tahun lepas, dengan segala usaha dan kerja keras yang telah dilaksanakan, Melaka berjaya menggamit sejumlah 16.79 (16,794,468) juta pelancong melepasi sasaran 16.75 juta pelancong iaitu peningkatan sebanyak 3.15 peratus atau 512,387 orang berbanding pada tahun 2016,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

 

“Kerajaan negeri merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada badan-badan yang telah mengiktiraf Melaka kerana meskipun negeri ini kecil, namun sentiasa mendapat perhatian badan pelancongan dunia. Semua kejayaan ini meletakkan Melaka setanding destinasi pelancongan popular lain di Malaysia, Asia mahupun seluruh dunia,” katanya lagi.

 

Beliau memberitahu bahawa bagi Fasa kedua Melaka Maju, kerajaan negeri telah menggariskan beberapa pendekatan hala tuju strategik bagi memajukan sektor pelancongan.

Sasaran utama ialah mencapai angka 20 juta pelancong menjelang tahun 2020 dan ini adalah inisiatif awal ke arah mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

 

Usaha ini akan dipergiatkan de­ngan penganjuran pelbagai acara pelancongan yang boleh menarik pelancong ke negeri Melaka. Antaranya, Sambutan Me­laka Bandaraya Bersejarah, Karnival Makan-makan Melaka 2018 dan ­Fiesta Melaka 2018.

 

Sementara itu, Pengasas yang juga Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah telah menjadi penerima Anugerah Khas Perdana Menteri Kategori Organisasi. Beliau berkata, antara kejayaan besar Kumpulan Sunway, adalah memiliki model perniagaan yang mampan dengan membina dan mengendalikan bandar-bandar bersepadu dan pembangunan-pembangunan infrastruktur milik sendiri.

“Sejak lebih 43 tahun dahulu, kami telah membangunkan beberapa bandar bersepadu terma­suk Sunway City di Selangor, Sunway City Ipoh, Sunway Penang dan Sunway Iskandar di Johor,” katanya.

 

Rencana Media Cetak dan Dalam Talian

Anugerah tersebut telah memberi nafas baru bagi Kategori “Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia” dan dinamakan sebagai “Dokumentari Pelancongan dan Iklan Televisyen Terbaik Mengenai Malaysia”.

 

Manakala “Rencana Pelancongan Terbaik” akan menumpukan kepada rencana-rencana mengenai Malaysia yang dihasilkan oleh penulis tempatan dan antarabangsa di dalam media cetak dan dalam talian.

 

Bagi kategori artikel pelancongan terbaik (Penerbitan Bercetak – Tempatan) pada majlis Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017,  Suliati Asri, memenangi kategori itu menerusi rencana, “Ini Di KL Lah…”

 

Rencana berkisar mengenai laluan kanopi diberi nama Titian Silara yang terletak di Taman Eko Rimba, Hutan Simpan Bukit Nanas, Kuala Lumpur itu menarik perhatian juri, sekali gus dinobatkan sebagai pemenang kategori terbabit.

 

Suliati membawa pulang piala kemenangan dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Siew Ka Wei.

 

Sementara itu, bagi kategori rencana dalam talian tempatan telah dimenangi oleh Rambel & Wander yang bertajuk ‘Saving Borneo’s Wildlife : Sabah’s Top Animal Centre’.

 

Manakala bagi kategori rencana dalam talian antarabangsa telah dimenangi oleh Tripzilla yang bertajuk ‘The Hidden Maldive of Malaysia – Mataking Island’.

 

Di bawah adalah senarai penuh pemenang:

anugerah pelancongan

Sumber: Utusan Malaysia, Harian Metro & Tourism Malaysia

BACA: MELAKA DESTINASI SULUNG TRAVELOG MALAYSIA