APA MOTIF MEREKA MENYEBARKAN BERITA TIDAK BENAR?

Isu zakat yang diviralkan dengan cara negatif masih belum reda. Hingga kita sering tertanya-tanya. Apakah motif mereka? Mahu menjadi keyboard worrior kah atau benar-benar mahu membantu asnaf?

Maka pada hari penutup tahun 2017 ini, marilah sama-sama kita membantu meningkatkan imej Pusat Pungutan Zakat (PPZ) demi kebaikan ummah sejagat.

Berilah sepenuh kepercayaan kepada pihak zakat untuk melakukan kerja mereka. Kita perlu ingat bahawa mereka juga manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan. Sebaiknya, berilah peluang dan ruang untuk mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan dari semasa ke semasa.

Selain itu, kita perlulah sedar bahawa berurusan dengan manusia bukan satu kerja mudah. Manusia ini ada pelbagai ragam. Ada yang telah dibantu dan mampu menguruskan hidup dengan lebih baik. Ada pula yang telah dibantu dan berubah sekejap tetapi selepas itu kembali ke cara hidup yang lama.

Demikianlah lumrah kehidupan. Hidup adalah pilihan. Tanyalah kepada individu itu dan orang yang mengenali mereka terlebih dahulu. Apakah benar mereka tidak pernah disantuni pusat pungutan zakat langsung?

MOTIF

Motif Sambil Lewa Tidak Menghalalkan Cara

Kepada masyarakat pula, selalulah berfikir positif. Usah terus menunding jari. Lebarkan dulu jalur pemikiran. Siasatan dulu kesahihan berita.

Jangan mudah sangat memanjangkan sesuatu berita yang tidak benar. Buatlah pertanyaan ke PPZ.  Biar mereka sahkan berita itu terlebih dahulu.

Seringkali bantuan telah diberi tapi tidak diviralkan. Sebaliknya, apabila ada berita insan yang kesusahan, cepat sangat menunding ke PPZ. Ya, mungkin ada yang terlepas pandang tetapi mungkin ada berita yang sudah basi tetapi diviralkan kembali.

Jom kita saksikan video ini (klik gambar)

motif

 

Bantu Sesama Kita Sampaikan Maklumat Dengan Cara Betul

Bagi berita yang sudah tersebar pula, alangkah bagusnya kalau kita semua mampu memberi komen yang membina bukan menghina.

Segera laporkan kepada PPZ jika ada sebarang kes asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Manakala untuk kes di negeri lain bolehlah rujuk kepada Pusat Zakat masing-masing yang terhampir.

Kata-kata lebih tajam daripada mata pedang. Jadi, pastikan fikir dulu sebelum anda menulis sesuatu yang bermotif menghina, merendah atau yang berunsur negatif.  Fikirkan natijah dan kesannya kepada ummah.

Bayangkan jika kata-kata anda itu telah mempengaruhi orang lain untuk tidak mengeluarkan zakat. Kesannya bukan sahaja tentang dosa dan pahala tetapi juga kepada asnaf lain akibat kutip zakat yang menyusut. Jadi, fikir-fikirkanlah sebelum mula menaip aksara di telefon atau notebook anda.

Semoga kita menjadi pembayar Zakat yang bertanggung jawab. Hentikan fitnah sebarkan kebaikan. Islam itu indah.

Kredit: Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP)

#123mamanet #Kitabuatkerjakita #apamotifmereka #Tuhantahu #ppz #maiwp

 

BACA: PPZ-MAIWP ANJUR KEMPEN YEZ 2017