AWANA SKYWAY BAHARU DI RESORTS WORLD GENTING

AWANA SKYWAY, SISTEM KERETA KABEL BAHARU DI HAB PENGANGKUTAN BAHARU AWANA KINI DIBUKA. IA MENAWARKAN KEMUDAHAN DAN KESERONOKAN KEPADA TETAMU RESORTS WORLD GENTING.

 

Kesemua 99 kereta kabel boleh membawa seramai 3,000 penumpang setiap jam dari stesen Awana ke hentian terakhir di stesen SkyAvenue pada ketinggian 620 meter. Dengan kelajuan enam meter sesaat, perjalanan sejauh 2.8 kilometer mengambil masa hanya 10 minit.

 

Pengunjung akan menikmati permandangan udara hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun yang menakjubkan sekitar Resorts World Genting dan tapak taman tema Twentieth Century Fox World yang bakal dibuka.

 

Sistem kereta kabel keempat di Resorts World Genting, Awana SkyWay merupakan sebahagian daripada komitmen tempat peranginan ini untuk kekal relevan dan terkini.

 

“Resorts World Genting memiliki sejarah yang panjang dalam mengendalikan sistem kereta kabel dengan menyediakan pengunjung satu sudut pandangan unik ketika mereka dalam perjalanan naik ke puncak resort ini,” kata Encik Thomas Ng, Naib Presiden Kanan Taman Tema & Sewaan.

 

“Kereta kabel kami mula beroperasi pada tahun 1970-an lagi, dan Awana SkyWay yang baharu ini adalah generasi keempat kami bina serta merupakan salah satu sistem pengangkutan termaju di dunia.”

 

Sistem kereta kabel ini adalah sebahagian daripada pelan induk 10 tahun untuk mengubah Resorts World Genting. Pelan Pelancongan Bersepadu Genting (GITP) dengan jumlah modal pelaburan sebanyak RM10.38 bilion.

 

Apabila siap, Resorts World Genting akan menyediakan pilihan hiburan unik bertaraf dunia kepada pengunjung, termasuk taman tema Twentieth Century Fox World yang pertama di dunia dan pusat membeli-belah SkyAvenue baharu dibuka yang menawarkan pelbagai pilihan membeli-belah serta tempat makan menarik.

 

Pelan pemulihan ini dijangka meningkatkan jumlah pengunjung ke Resorts World Genting kepada 30 juta pada tahun 2020, daripada 20 juta setahun pada masa ini.

 

awana skyway

AWANA SKYWAY DENGAN GONDOLA UNIK

Perjalanan mendebarkan ke puncak bermula di stesen Awana. Penumpang mempunyai pilihan untuk turun di dua hentian dan meneroka tarikan di sekitar Resorts World Genting.

 

Mereka boleh turun di stesen Chin Swee untuk menikmati pemandangan panorama atau boleh kekal di dalam gondola sehingga hentian terakhir di stesen SkyAvenue yang menghubungkan terus ke pusat beli-belah SkyAvenue.

awana skyway

 

Kesemua 99 gondola yang disediakan setiap satu boleh membawa 10 orang penumpang. Sebanyak 10 daripada gondola tersebut dilengkapi dengan lantai kaca, membolehkan pemandangan yang jelas ke persekitaran.

 

Setiap gondola juga dilengkapi dengan dua port USB membolehkan pengunjung untuk mengecas telefon pintar.

 

Ia mengambil masa kira-kira enam minit untuk kereta kabel bergerak dari stesen Awana ke stesen Tokong Chin Swee yang terletak pada ketinggian 1,514 meter. Penumpang yang turun di stesen itu boleh meneruskan perjalanan ke tokong melalui laluan menurun berbumbung yang turut dilengkapi dengan eskalator.

 

Stesen ini juga mempunyai tempat letak kereta sendiri, tandas, dan kios tiket automatik untuk kemudahan pengunjung.

 

Penumpang yang ingin meneruskan perjalanan mereka dengan Awana Skyway dari stesen Chin Swee perlu menempuh tambahan masa selama empat minit untuk sampai di stesen SkyAvenue.

 

PERJALANAN LEBIH MUDAH UNTUK KE RESORTS WORLD GENTING

Dengan pelancaran Awana SkyWay, pengunjung boleh mengharapkan akses yang lebih mudah ke puncak ketika berkunjung dengan lebih santai. Mereka boleh meletakkan kenderaan di kaki gunung, dan hanya perlu duduk dan berehat sambil menikmati pemandangan yang indah ketika gondola menuju ke puncak.

awana skyway

 

Sistem baharu ini menawarkan perjalanan lebih dekat berbanding Genting Skyway yang lama iaitu sepanjang 3.4 kilometer dengan keupayaan mengangkut 1,600 orang setiap jam. Sebagai perbandingan, Awana SkyWay boleh membawa hampir dua kali ganda bilangan orang setiap jam.

 

Encik Ng berkata, “Genting SkyWay dibuka kepada orang ramai pada tahun 1997 dan merupakan sistem kereta kabel terpanjang serta paling cepat di Asia Tenggara pada masa itu, dan ia merupakan satu tarikan hebat untuk Resort. Kami bangga untuk menyatakan seramai 109 juta orang telah menggunakan perkhidmatan itu.”

 

 

“Genting SkyWay akan ditutup buat sementara waktu dan diambil alih Awana SkyWay. Kedua-dua sistem akan bergilir-gilir untuk menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan kami,” tambah Thomas.

 

Pelawat yang datang ke Resorts World Genting boleh membawa bagasi bersaiz kabin ke dalam gondola, manakala bagasi lebih besar boleh disimpan di Terminal Bas Awana baharu dengan bayaran RM5 untuk 24 jam.

 

Awana Skyway beroperasi tujuh hari seminggu, dari pukul 7:00 pagi hingga tengah malam.

Tiket-tiket untuk gondola standard berharga RM8 seorang manakala ahli kad Ganjaran Genting boleh membayar melalui sistem potongan mata 5GP setiap perjalanan.

 

Pas masuk ekspres pula boleh dibeli pada harga RM40. Untuk gondola berlantai kaca, harga tiket adalah RM50 seorang atau 40GP untuk ahli kad Ganjaran Genting.

 

“Pelancaran Awana SkyWay adalah salah satu daripada tarikan baharu dan menarik yang kami akan membawa ke Resorts World Genting,” kata Thomas Ng.

 

“Transformasi ini akan membezakan kita sebagai destinasi percutian unggul, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia, tetapi buat pengunjung dari seluruh dunia. Awana SkyWay hanyalah satu permulaan.”

 

PUSAT BELI-BELAH SKYAVENUE TAWAR TARIKAN LEBIH MENARIK

Tidak ada yang sepertinya di Malaysia. Itulah gambaran yang boleh diluahkan buat pusat beli belah terbaru SkyAvenue yang bersebelahan dengan Indoor Theme Park yang sedang dalam proses renovasi dan bakal dibuka tidak lama lagi.

 

Anda boleh membeli belah di outlet berjenama terkemuka pada harga yang sama dengan bandar raya Kuala Lumpur dan sebagainya. Sudah penat membeli belah, pasti anda mahu menjamu selera pula.

 

Di sini ada pelbagai restoran ternama untuk anda nikmati keenakan resipi terpilih atau meraikan hari istimewa bersama pasangan dan keluarga. Terdapat juga Malaysian Food Street untuk anda yang gemar masakan ala warung.

 

Bagi memberikan kepuasan maksimum kepada pengunjung, Genting Resorts World menawarkan tiga buah restoran terkemuka iaitu Burger & Lobster, Motorino dan Cafes Richard.

 

Burger & Lobster menyediakan hidangan daging burger Australia dan udang galah yang diterbangkan terus dari Nova Scotia. Restoran ini memang sentiasa mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.

awana skyway

 

Motorino menyediakan pelbagai pilihan pizza dari Naples, Itali. Rasa enak keju dan doh yang lembut pasti membuatkan anda mengunyah sambil tersenyum puas. Anda juga boleh membuat pesanan terus dari bilik anda. Pesanan anda akan tiba di depan pintu tepat pada masanya.

awana skyway

 

Manakala bagi pengemar kopi, anda tidak perlu lagi ke Paris semata-mata untuk menikmati kopi dan teh yang enak – datanglah ke Cafes Richard. Nikmati sendiri keindahan dekorasi dan keenakan kopinya. Anda pasti teruja. Kesemua restoran ini terletak sebelah menyebelah di Aras 1, SkyAvenue.

awana skyway

CAFES RICHARD

 

Selain itu, jika anda mahukan makanan panas bolehlah cuba steamboat di Resort Seafood Steamboat yang terletak di Aras 1, Resorts Hotel (layari www.genting.com).

awana skyway

Untuk maklumat lanjut layari rwgenting.com.

 

BACA HOTEL ON THE PARK DIBERI IMEJ BAHARU GANTI HOTEL THEME PARK