BERSAMA MELAWAN DENGGI, MUSUH KESIHATAN NO 1 MALAYSIA

Satu kajian terbaharu mendedahkan bahawa denggi merupakan masalah kesihatan paling dikhuatiri rakyat Malaysia, tetapi hanya satu perempat daripada kita rasa mampu mengawal atau bersedia menghadapinya.

 

Bersama Melawan Denggi atau Allied Against Dengue (AAD), mengumumkan kerjasama dengan berbilang rakan industri terkemuka dan inisiatif masa depan untuk membantu memperkasakan rakyat Malaysia dalam usaha mencegah dan menguruskan denggi.

 

Denggi ialah sejenis jangkitan virus serius yang merebak daripada satu orang kepada orang lain menerusi nyamuk Aedes. Sebagai penyakit virus bawaan vektor yang paling pantas merebak di dunia, ancaman denggi sememangnya berleluasa dan amat berbahaya, dengan hampir 40% daripada penduduk dunia dianggarkan menghadapi risikonya. Asia Tenggara sahaja memperlihatkan tahap kelaziman denggi yang tertinggi, iaitu dialami 2.9 juta orang setiap tahun dan merupakan beban serantau paling besar di dunia.

 

Walaupun perangkaan negara kita baru-baru ini mendapati bahawa kes denggi secara keseluruhan telah merosot berbanding tahun lepas, namun kesan dan akibatnya yang amat memudaratkan mewujudkan ancaman berterusan kepada Malaysia.

 

Lebih 80% Rakyat Malaysia Takut Denggi

Kajian terbaru mendapati bahawa 80% daripada rakyat Malaysia bimbang akan ancaman denggi berbanding ancaman penyakit berjangkit umum.

 

Tinjau Selidik Denggi SEA, kajian pertama sepertinya yang dilaksanakan oleh GlaxoSmithKline (GSK) Consumer Healthcare, juga mendedahkan bahawa walaupun ia menjadi kebimbangan orang ramai, kefahaman tentang risiko dan gejala dan pengurusan denggi amat terhad – hanya lebih separuh daripada individu yang ditinjau selidik menyatakan bahawa mereka tahu cara-cara mengesan gejalanya, dan hanya 33% maklum bahawa tiada penawar baginya.

 

Paling membimbangkan, apabila ditanya tentang ubat yang sesuai, hampir 70% daripada rakyat Malaysia tidak sedar bahawa parasetamol ialah satu-satunya ubat yang disyorkan untuk menangani demam denggi, seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

Hasil kajian memaparkan dimensi baru kepada risiko gejala ini di Malaysia; potensi lebih besar untuk tersalah diagnosis atau menguruskan penyakit secara tidak betul yang mungkin meningkatkan kemungkinan berlaku kerumitan yang mengancam nyawa, lantas membahayakan pesakit.

denggi

Hampir 90% Ingin Tahu Lebih Lanjut Mengenai Denggi

Memandangkan tahap kesedaran tinggi tentang kesan denggi dan tahap keterukan penyakit, tidak menghairankan bahawa hampir 90% daripada peserta tinjau selidik mahu mempelajari lebih lanjut tentang penyakit, terutamanya jika mereka sendiri pernah terdedah atau jika topik denggi jelas dipaparkan di dalam media, tetapi hanya hampir separuh percaya bahawa maklumat yang secukupnya boleh didapati mereka.

 

“Sebahagian besar rakyat Malaysia yang ditinjau selidik mengambil langkah proaktif untuk membantu mencegah denggi, tetapi apabila dijangkiti, kita tidak begitu pasti tentang cara mengenal pasti gejala, langkah untuk menguruskan penyakit dan paling penting cara untuk mencari maklumat penting ini,” ujar Heather Pelier, Southeast Asia Area Marketing Director for Pain Relief and Respiratory, GSK Consumer Healthcare.

 

Berganding bahu dalam usaha memenuhi keperluan pendidikan di seluruh Asia Tenggara, Bersama Melawan Denggi atau Allied Against Dengue (AAD) dengan sukacitanya mengumumkan empat rakan kongsi baru, iaitu, UCSI University Malaysia, Caring Pharmacy Group Berhad, Apex Pharmacy Marketing dan MIMS Health Today, yang akan menyertai ahli sedia ada seperti Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Guardian Health & Beauty Malaysia Sdn Bhd dan GSK Consumer Healthcare dalam misi mereka menggiatkan usaha mencegah dan menguruskan denggi dengan melibatkan, memperkasakan dan mendidik orang ramai.

 

Diasaskan pada 2015 oleh GSK Consumer Healthcare (GSK), AAD bermula sebagai kerjasama 12 organisasi, yang melancarkan kempen pendidikan perintis di Indonesia, diikuti oleh Malaysia dan Filipina. Lebih daripada 11,500 profesional penjagaan kesihatan dan ahli farmasi telah menyertai misi untuk memperkasakan dan mendidik lebih tujuh juta pesakit tentang pencegahan dan pengurusan penyakit menerusi pelbagai saluran digital dan media dan aktiviti di lokasi.

 

Dengan kecekapan dan fungsi unik rakan-rakan kongsinya, AAD bertujuan untuk mengurangkan kadar kejadian denggi dengan aktif melalui usaha-usahanya. Dr Ravindran Naidu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia menyatakan, “Sebagai rakan asal perikatan ini sejak perasmiannya, Persatuan Perubatan Malaysia secara berterusan mencari cara untuk memberi pesakit dan profesional penjagaan kesihatan kuasa pengetahuan mengenai penyakit itu. Sebagai contoh, ia sangatlah penting untuk mengetahui bahawa diagnosis demam denggi boleh dibuat pada hari pertama jangkitan dengan secucuk jarum.”

 

“Menyedari betapa pentingnya pengetahuan individu dan kesedaran penyakit, langkah memperkasakan insan ialah cara terbaik untuk memerangi denggi,” kata Bharati Suresh Chand, Naib Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia.

 

Pelancaran kerjasama ini menjadi pendahulu kepada usaha terbaru AAD untuk memperkasakan orang ramai bagi menentang denggi, iaitu Larian AAD 2017. Larian ini yang diadakan pada hari Ahad, 17 September 2017 di Galeri Pameran Bandar Rimbayu, Selangor, mengajak individu di seluruh Malaysia untuk menjadi ‘wira denggi’ dengan mendaftar sama ada untuk larian suka-ria 5km (bagi usia 8 tahun dan ke atas) dan 10km (bagi usia 16 tahun dan ke atas). Hadiah sehingga RM4,000 akan diberikan kepada pemenang tempat pertama, ke-2 dan ke-3, manakala semua peserta akan menerima baju-T AAD, beg hadiah dan pingat.

 

Untuk maklumat lanjut www.adrenalineaddict.asia

 

BACA 7 MAKANAN UNTUK ORANG DEMAM