BERTAUBATLAH DAN SEGERA MELUNASKAN ZAKAT 2018 SEBELUM TERLAMBAT

Tahun 2018 sudah hampir melabuhkan tirai. Sudahkah anda bermuhasabah diri dan membuat koreksi atas kesilapan yang mungkin dilakukan hingga menyebabkan kehidupan anda sering dilanda masalah? Paling penting sudahkah anda melunaskan zakat pada tahun ini?

Semoga Allah menyucikan jiwa kita dari sifat tamak dan memberkati kehidupan kita sekeluarga dengan cara kita bersihkan harta iaitu dengan melunaskan zakat tanpa culas.

Tahukah anda semua pendapatan yang anda terima wajib dibayar zakat? Misalnya gaji, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, simpanan, emas, saham dan zakat yang tidak ditunaikan pada tahun-tahun sebelumnya (qadha zakat).

Hakikatnya berzakat itu langsung tidak membebankan. Hanya sejumlah bayaran zakat sebenarnya sangat kecil iaitu hanya 2.5% sahaja atau hanya RM2.50 pada setiap RM100 yang anda miliki. Bahkan anda boleh dapat rebat cukai jika menunaikan zakat.

melunaskan zakat

Melunaskan Zakat Sebelum 31 Disember 2018 Adalah Tanggungjawab Bersama

Bagi memberi kemudahan kepada orang ramai, terdapat 6 saluran pembayaran zakat iaitu:

  1. Kaunter Pembayaran – Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyediakan 11 kaunter zakat PPZ – MAIWP dan dibuka setiap hari termasuk cuti umum bermula dari jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang. Terdapat juga kaunter zakat bergerak untuk kemudahan orang ramai.
  2. Bayaran zakat secara online melalui protal PPZ iaitu di www.zakat.com.myTerdapat kalkulator zakat pendapatan bagi pengiraan zakat pendapatan dan pembayaran zakat secara online menerusi FPX.
  3. Sebanyak 14 buah bank telah dilantik sebagai ejen bagi memudahkan pembayaran zakat di PPZ-MAIWP. Pembayaran zakat boleh dibuat di kaunter bank, perbankan internet dan Mesin ATM.
  4. Tambahan potongan gaji zakat melalui SKIM THOHIR (Skim Potongan Gaji Zakat). Isi borang 052 yang boleh didapati di 11 kaunter PPZ-MAIWP atau portal PPZ – MAIWP atau dengan pihak majikan. Isikan jumlah zakat yang ingin ditambah di ruangan penambahan di borang 052.
  5. Autodebit Maybank – Pembayaran zakat menerusi autodebit Maybank. Penerangan kemudahan melalui pembayaran ini boleh didapati dengan menghubungi Talian Zakat 1 300 88 5757 atau kasyer yang bertugas di 11 kaunter PPZ-MAIWP. Borang AUTODEBIT Maybank ini boleh didapati di 11 kaunter PPZ-MAIWP.
  6. Bayaran zakat menerusi MYEG – Pembayaran zakat boleh dibuat menerusi portal MyEG, myeg.com.my

Maka dengan kemudahan saluran ini, segeralah lunaskan zakat anda tanpa bertangguh lagi!

melunaskan zakat

Jadi Kaya Dengan Berzakat

Setiap pembayar zakat sudah dijanjikan keberkatan daripada setiap sen yang dibelanjakannya oleh Allah S.W.T. Jadi, usah risau atau ralat bila anda ‘kehilangan 2.5%’ daripada harta anda saban tahun. Kerana harta anda akan digandakan dengan cara yang mungkin anda tidak sedari.

Semoga kehidupan kita akan menjadi lebih baik pada tahun hadapan dan jangan terkejut andainya kita dikurniakan kekayaan yang melimpah ruah asbab keprihatinan kita dalam membayar zakat. Insya-Allah.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.zakat.com.my

Hubungi Talian zakat 1300885757 untuk membantu anda.

 

(Visited 17,768 times, 1 visits today)