SERAMAI 5907 ADIWIRA MALAYSIA TAMPIL DERMA DARAH DI MBO

MBO Cinemas amat menghargai keberanian serta keprihatinan yang ditunjukkan oleh adiwira-adiwira Malaysia yang telah tampil beramai-ramai menderma darah dan berjaya mengatasi sasaran 5,000 pain darah bagi tahun ini. Ia menjadikan kempen derma darah pada tahun ini sebagai yang paling berjaya.

 

Bertemakan “Serlahkan Keperwiraan Anda” kempen ini berjaya menarik 5,907 penderma yang tampil menyahut seruan membantu menambah jumlah darah yang semakin berkurangan di Pusat Darah Negara sejak berakhirnya Ramadan dan perayaan Aidilfitri.

 

Semenjak ianya mula dianjurkan pada 2014, kempen derma darah tahunan ini telah berjaya memungut lebih 15,000 pain darah, menyelamatkan kira-kira 45,000 nyawa, semuanya kerana keberanian pelanggan serta peminat MBO untuk tampil menyahut cabaran.

 

“Kami merasa amat berbangga apabila ribuan rakyat Malaysia tampil kehadapan berkorban untuk orang lain dengan menderma darah. Sememangnya kami yakin dengan pelanggan dan peminat kami dengan keberanian mereka dalam berkorban untuk golongan yang memerlukan. Pada tahun ini, mereka telah memberi kejutan dengan mengatasi sasaran yang kami tentukan,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran MBO, Cheah Chun Wai.

 

Tambah beliau, “Hasil daripada kejayaan memungut 5,907 pain darah tahun ini telah menguatkan lagi azam kami untuk terus menganjurkan kempen derma darah pada tahun-tahun akan datang.”

derma darah

Ramai Penderma Kali Pertama Hadir Derma Darah

Semasa kempen berkenaan, setiap adiwira yang berjaya menderma darah telah dikejutkan dengan pemberian saguhati misteri eksklusif daripada MBO Cinemas sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan mereka.

 

“Saya tidak pernah menderma darah sebelum ini kerana takut. Walau bagaimanapun, apabila saya sedar yang ramai rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada kempen derma darah ini, saya merasa terpanggil dan memberanikan diri. Saya terkejut kerana menderma darah sebenarnya tidaklah menyakitkan dan mengerikan seperti yang saya bayangkan. Saya pasti akan

lebih kerap menderma darah pada masa depan,” kata Koh Shu Ding, ketika ditemui pada Kempen Derma Darah MBO di The Starling Mall, Uptown Damansara.

 

“Kami terkejut apabila melihat ramai orang beratur panjang sebaik sahaja pendaftaran dimulakan. Selain itu, kami terpaksa menghentikan pendaftaran di sesetengah lokasi beberapa kali bagi memastikan kami mempunyai beg darah yang mencukupi. Memandangkan ia merupakan kempen tahunan, kami sangat gembira apabila berjumpa dengan penderma yang kami kenali. Kami juga merasa sangat riang kerana dapat menarik lebih ramai penderma kali pertama tahun ini. Sambutan seperti ini jarang dapat dilihat di tempat-tempat lain,” kata Ketua Pegawai (Operasi) Persatuan St. John Ambulans Malaysia, Dato’ Burnard Yeo Kim Thong.

derma darah

Penderma baru.

Perlu Kerap Menderma Darah

Salah satu daripada mesej yang ingin disampaikan melalui penganjuran kempen ini ialah tentang pentingnya menderma darah dalam kadar yang kerap bagi memastikan stok darah sentiasa mencukupi sebelum berlakunya sebarang kecemasan.

 

Hanya 2.2% daripada 30 juta rakyat Malaysia menderma darah – jumlah berkenaan adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan 3.5% – 5% di negara-negara maju. Secara purata, hospital kerajaan dan swasta di Malaysia perlu menyediakan kira-kira 2,000 beg darah bagi memenuhi keperluan 1,000 pesakit setiap hari.

 

“Terima kasih kepada MBO Cinemas kerana sudi bekerjasama dalam menggalakkan rakyat Malaysia untuk menonjolkan “Semangat Wira” mereka agar kerap menderma darah. Kami ingin menekankan di sini bahawa pusat darah sentiasa memerlukan bekalan darah yang mencukupi bagi sepanjang tahun,” kata Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.

 

Kepada rakyat Malaysia yang terlepas peluang untuk menyertai Kempen Derma Darah MBO 4.0i usah gusar kerana anda masih boleh menjadi ‘adiwira’ dengan menderma darah di Pusat Darah Negara yang dibuka setiap hari. Waktu pendermaan di Pusat Darah Negara adalah seperti berikut:

Isnin – Rabu : 7.30am – 5.30pm

Khamis & Jumaat : 7.30am – 8.00pm

Sabtu & Ahad : 8.00am – 4.00 pm

Untuk makluman lanjut layari www.pdn.gov.my. Jadilah seorang adiwira, derma darah, selamatkan nyawa!

 

BACA 5 MAKANAN TAMBAH DARAH BUAT PESAKIT ANEMIA