WEB COPD CHOICES DILANCARKAN SEMPENA HARI COPD SEDUNIA

Penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD) merupakan penyakit yang kurang didiagnosis dan mengancam nyawa, ia adalah penyakit paru-paru progresif yang disebabkan terutamanya oleh asap tembakau. Sempena Hari COPD Sedunia tahun ini, Yayasan Paru-Paru Malaysia dan Persatuan Torasik Malaysia, dengan sokongan GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK), meneruskan usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit COPD  menerusi pelancaran Laman Web COPD Choices, saluran digital yang direka khas untuk menyokong pesakit COPD menguruskan keadaan mereka.

 

 

“Tanda pertama yang saya alami ialah saya rasatercungap-cungap bila mengejar bas, dan saya rasa sukar untuk bernafas. Saya mula batuk – saya akan batuk dan batuk, dan walaupun saya hanya berdiri di luar dan menyedut karbon monoksida dari kenderaan, saya akan sesak nafas.”

 

 

Encik Hanafi berusia 64 tahun. Sebelum ini beliau bekerja sebagai Perunding Projek Rekaan Hiasan Dalaman dan kini tinggal bersama isterinya di Singapura. Beliau adalah salah satu daripada wajah-wajah COPD – pesakit yang menghidap Penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD).

 

hari copd sedunia

PESAKIT COPD SUKAR BERNAFAS

 

COPD ialah penyakit paru-paru progresif yang membuat seseorang itu semakin sukar untuk bernafas. COPD biasanya disebabkan pendedahan jangka panjang kepada perengsa paru-paru yang merosakkan paru-paru dan saluran penafasan. Asap rokok ialah punca utama penyakit COPD, dengan kira-kira 89‒97% daripada penghidap dikenal pasti sebagai perokok atau bekas perokok.

 

 

Gejala-gejala biasa termasuk sesak nafas, khususnya apabila aktif, batuk berkahak yang berterusan, sering mendapat jangkitan dalam dada dan sentiasa berdehit. Namun, gejala-gejala ini mungkin berlainan antara individu. Gejala-gejala COPD muncul secara perlahan-lahan, biasanya menjadi nyata apabila individu itu berusia 40 hingga 50 tahun.

 

 

“Gejala-gejala yang saya alami berlarutan selama empat hingga lima tahun sebelum saya berjumpa doktor, dan selepas pelbagai ujian, kami dapati paru-paru saya berfungsi pada tahap 65%. Pada masa itu, saya tidak tahu menganai penyakit COPD dan kesannya pada hidup saya.”

 

 

Seperti Encik Hanafi, ramai orang tidak tahu mereka menghidap COPD – kerana pada peringkat awal, penyakit mungkin hanya memperlihatkan gejala-gejala ringan, yang mungkin tidak disedari. Apabila COPD progres, aktiviti harian menjadi semakin sukar, dan penghidap mungkin mengalami eksaserbasi – kejadian sesak nafas, batuk dan pengeluaran kahak bertambah teruk yang serius, yang boleh berlarutan selama beberapa hari ataupun beberapa minggu1. Kejadian ini boleh mengakibatkan pesakit perlu mendapatkan penjagaan perubatan dengan segera (termasuk dimasukkan ke hospital) dan kadang-kadang mengakibatkan kematian.

hari copd sedunia

Klik foto untuk dapatkan pdf penuh.

COPD Tiada Penawar

Buat masa ini tidak ada penawar untuk menyembuhkan COPD, dan dengan kira-kira 384 juta orang dipercayai menghidap COPD di dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa COPD akan menjadi punca utama ketiga kematian di seluruh dunia menjelang 2030. Di Malaysia, kajian Beban Penyakit Global menunjukkan COPD sebagai punca ketujuh kematian awal atau pramatang di Malaysia pada 2010.

 

“COPD terus menjadi ancaman yang semakin meningkat di Malaysia, disebabkan tabiat merokok yang berleluasa dan bilangan penduduk tua yang semakin ramai,” jelas Dato’ Dr Zainudin bin Md. Zin, Pakar Perunding Perubatan Umum dan Pernafasan, Hospital Pakar KPJ Damansara, dan Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia.

 

Tambahnya, “Apabila risiko meningkat, keperluan untuk meningkatkankesedaran orang ramai mengenai kesan COPD dan kerosakan yang tidak boleh dipulihkan kepada paru-paru juga meningkat.”

 

Sempena Hari COPD Sedunia tahun ini, yang jatuh pada hari Rabu, 15 November 2017, Yayasan Paru-Paru Malaysia dan Persatuan Torasik Malaysia, dengan sokongan GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK), meneruskan usaha untuk menangani keperluan pendidikan pakar penjagaan kesihatan profesional dan individu yang berdepan dengan risiko COPD di seluruh negara, untuk membolehkan mereka memahami dan menguruskan penyakit secara lebih baik.

 

Susulan pelancaran bahan pendidikan ‘Every Breath Matters’ pada 2016, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap COPD dan gejala-gejalanya, GSK melancarkan bahan digital yang ditujukan kepada individu yang didiagnosis dengan COPD. Laman Web COPD Choices akan menyediakan beberapa halaman maklumat dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, termasuk video daripada pakar-pakar tempatan, untuk membantu menyokong pesakit dalam pengurusan penyakit mereka.

 

“Cara terbaik untuk mencegah COPD adalah dengan elakkan merokok atau berhenti merokok,” kata Profesor Madya Dr Pang Yong Kek, Pakar Perunding Pernafasan Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Presiden Persatuan Torasik Malaysia. “Bagaimanapun, jika seseorang sudah disahkan menghidap COPD, terdapat cara-cara kami boleh membantu melegakan gejala-gejala penyakit, menambah baik kualiti hidup pesakit dan mengurangkan risiko kematian. Kami yakin kerjasama berterusan seperti ini boleh membantu kami meluaskan capaian sumber kami untuk membantu memperkasakan pesakit dalam pengurusan penyakit mereka.”

hari copd sedunia

Klik foto untuk mendapatkan Booklet penuh.

Ramil Burden, Naib Presiden dan Pengurus Besar, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd, Malaysia menegaskan, “Selama lebih 40 tahun GSK telah melabur dalam penyelidikan pernafasan – mencipta dan meperbaiki ubat-ubatan yang membawa transformasi mengenai rawatan penyakit pernafasan seperti COPD. Kami mendapati setiap pesakit COPD mempunyai cabaran dan keperluan yang unik, dan menerusi pelancaran digital laman web COPD Choices di Malaysia, kami boleh terus menyokong individu yang menghidap COPD untuk terus menikmati sepenuhnya hidup ini.”

 

Maklumat lanjut, sila ke laman COPD Choices

 

BACA: 6 CARA HILANGKAN BATUK BERKAHAK PALING MUDAH