LINDUNGI IBU DAN ANAK SEMPENA HARI DIABETES SEDUNIA

Hari Diabetes Sedunia jatuh pada 14 November dan setiap tahun, Novo Nordisk berusaha meningkatkan kesedaran tentang diabetes bagi menggalakkan pencegahan dan pengesanan awal.

 

Pada tahun ini, tema antarabangsanya ialah Wanita dan Diabetes dan sejajar dengan itu, Novo Nordisk, salah satu daripada beberapa organisasi yang bekerjasama dengan HPJ dalam inisiatif kesedaran awam untuk mendidik rakyat Malaysia tentang GDM, termasuk mengenal pasti mereka yang menghadapi risiko lebih tinggi, cara menguruskan paras gula darah semasa hamil dan menekankan betapa pentingnya pemeriksaan.

 

Diabetes ialah kemudaratan kesihatan global yang semakin ketara, yang menjejaskan kehidupan lebin ramai orang setiap hari. Pada hari ini, Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) telah melancarkan Edisi Ke-8 Atlas Diabetes IDF, yang menganggarkan terdapat seramai 425 juta penghidap diabetes di seluruh dunia – ini merupakan seorang penghidap daripada setiap 11 orang dewasa.

 

Dalam kumpulan ini, satu daripada dua dewasa yang menghidap diabetes diandaikan masih belum didiagnos. IDF meramalkan bahawa menjelang 2045, terdapat 629 juta penghidap diabetes, dengan perbelanjaan kesihatan berkaitan yang mencecah lebih USD 776 bilion.

 

Diabetes mempunyai tahap kelaziman yang tinggi di Malaysia; buat masa ini, 3.6 juta atau 17.5% daripada rakyat Malaysia didiagnos dengan diabetes jenis II, 1.78 juta daripada mereka merupakan wanita.

 

Hari Diabetes Sedunia

Dapatkan lebih Info grafik mengenai diabetes yang disediakan oleh Institut Kanser Negara

 

Hari Diabetes Sedunia Sasar Ibu Dan Anak

Menurut tinjau selidik yang dikendalikan pada 2015, ia dianggarkan bahawa seorang daripada lima dewasa Malaysia akan menghidap diabetes menjelang 2020.  Bagaimanapun, jumlah yang dilaporkan telah melebihi anggaran tersebut dan ini jelas menunjukkan pertumbuhan eksponen penyakit tersebut. Menurut laporan terbaru daripada National Obstetrics Registry (2010), kadar kencing manis yang dihadapi perempuan mengandung adalah 9.9%.

 

Dr Nurain binti Mohd Noor, Setiausaha Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia & Pakar Perunding Endokrin, Hospital Putrajaya berkata, “GDM dihidap oleh perempuan hanya semasa hamil, tetapi ia membawa risiko jangka panjang untuk diabetes jenis 2 untuk ibu dan anak.

 

Risiko-risiko utama merangkumi perempuan yang lebih tua semasa mengandung, obesiti, sejarah diabetes dalam keluarga, GDM semasa kehamilan terdahulu, sejarah kematian bayi semasa lahir atau melahirkan bayi dengan kecacatan kongenital.”

 

“Usaha meningkatkan kesedaran tentang GDM dalam kalangan wanita dan suami mereka adalah amat penting untuk memastikan pengesanan dan pengurusan awal. Wanita yang terdedah kepada faktor risiko GDM hendaklah berunding dengan doktor mereka jika mereka bercadang untuk hamil bagi memastikan mereka mendapat bimbingan dan sokongan untuk menguruskan paras gula darah mereka,” ujar Dr Nurain.

Hari Diabetes Sedunia

 

Novo Nordisk Tingkatkan Kesedaran Tentang GDM

Sebnem Avsar Tuna, Naib Presiden Korporat, rantau BAOS Novo Nordisk, berkata, “Laporan IDF yang baru menunjukkan bahawa pandemik diabetes terus meningkat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga mencapai tahap kritikal pada peringkat global.

 

Dalam peringatan ulang tahun ke-10 Hari Diabetes Sedunia yang ditetapkan sebagai hari rasmi United Nation ia adalah penting bahawa kita semua diingatkan mengenai keperluan untuk terus bekerjasama untuk mencegah, mendiagnosis, dan menguruskan diabetes dengan berkesan.

 

“Kami bangga untuk memberi sokongan kepada Hospital Putrajaya tahun ini sempena Hari Diabetes Sedunia, yang merangkumi ruang maklumat kesedaran awam untuk mendidik orang ramai tentang risiko GDM dan cara mencegah perkembangannya, terutamanya jika anda tergolong dalam kategori yang berisiko.”

 

Usaha sama ini ialah usaha terbaharu Novo Nordisk untuk meningkatkan kesedaran tentang GDM, yang termasuk projek campur tangan prakehamilan yang unik, iaitu ‘Jom Mama,’ inisiatif perkongsian awam-swasta dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan institusi penyelidikan antarabangsa seperti Universiti Southampton, United Kingdom, Universiti Witwatersrand, Afrika Selatan, dan Steno Diabetes Centre, Denmark.

 

“Jom Mama ialah inisiatif prakehamilan untuk menguji jika campur tangan awal boleh membawa manfaat untuk memberikan permulaan yang sihat kepada ibu dan juga anak,” ujar Avsar Tuna.

 

“Projek ini,” tambah Avsar, “melibatkan pasangan muda dengan matlamat mendidik mereka untuk meningkatkan kesihatan sebelum hamil sebagai langkah mengurangkan bahaya diabetes gestasi dalam kalangan ibu dan juga diabetes Jenis 2 dalam generasi akan datang.”

Hari Diabetes Sedunia

 

 

Kios kesedaran penyakit di Alamanda Mall

Dr Feisul Idzwtn, Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan menekankan kepentingan pencegahan dengan peningkatan kadar insiden diabetes di Malaysia. Katanya, “Kita perlu mempercepatkan usaha pencegahan, pemeriksaan risiko awal, dan pengurusan penyakit yang sesuai.”

 

“Diabetes menjejaskan orang ramai dalam masyarakat kita dan ia merupakan cabaran jangka panjang dan juga beban. Di Malaysia, 1.8 juta rakyat Malaysia yang mempunyai kencing manis tidak didiagnos dan Hari Diabetes Sedunia adalah platform yang penting untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk kerjasama untuk mewujudkan komitmen supaya orang ramai mempunyai akses kepada penjagaan,” katanya lagi.

 

Orang ramai dijemput untuk mempelajari lebih lanjut tentang GDM dengan mengunjungi kios kesedaran penyakit Hospital Putrajaya, yang diadakan di Alamanda Mall pada 18 November 2017. Selain daripada memberikan maklumat tentang GDM, pemeriksaan diabetes percuma dan beberapa aktiviti fizikal akan disediakan untuk para peserta.

 

BACA: PATUHI 6 CARA MENCEGAH KENCING MANIS SEBELUM TERLAMBAT