JOGATON ‘ORGANS FOR LOVE’ TINGKATKAN KESEDARAN PEMINDAHAN ORGAN

Para pelajar dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya berusaha meningkatkan kesedaran umum terhadap keperluan pemindahan organ menerusi jogaton amalnya yang dinamakan ‘Organs For Love ’, dengan tumpuan kepada Pemindahan Ginjal sebagai tema tahun ini. Siapa sangka, Jogaton ‘Organs For Love’, anjuran Universiti Malaya ini berjaya mengumpulkan RM1,500 untuk Persatuan Transplantasi Malaysia.

Seorang penderma organ boleh menyelamatkan sehingga lapan nyawa. Organ yang boleh didermakan untuk pemindahan termasuk ginjal, jantung, paru-paru, hait, usus kecil dan pankreas. Tisu yang boleh didermakan termasuk mata, injap jantung, tulang, kulit, urat darah (vena) dan tendon.

pemindahan organ

Buat masa ini di Malaysia, terdapat kira-kira 21,500 pesakit menunggu untuk pemindahan organ, dan 99% daripada mereka menunggu penderma untuk pemindahan ginjal. Manakala yang lain memerlukan pemindahan hati, jantung dan paru-paru.

pemindahan organ

 

Pemindahan Organ Ginjal

Ginjal bukan sahaja berfungsi untuk menapis sisa buangan daripada darah, tetapi juga terlibat dalam mengawal tekanan darah, imbangan elektrolit, dan pengeluaran sel darah merah dalam badan.

Pemindahan ginjal diperlukan apabila ginjal seseorang kehilangan keupayaan untuk berfungsi, menyebabkan penyakit ginjal kronik (CKD). CKD boleh berpunca daripada banyak keadaan termasuk tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi, jangkitan dan lain-lain.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, seramai kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan hampir 50% rakyat Malaysia mempunyai paras kolesterol tinggi dan mereka ini berisiko menghidap CKD dalam jangka panjang.

Buat masa ini tidak ada penawar untuk menyembuhkan CKD, tetapi terdapat cara untuk mencegahnya seperti mengamalkan gaya hidup sihat. Bagi pesakit CKD, keadaan mereka hanya boleh diuruskan dengan ubat dan dialisis.

Namun, dengan pemindahan ginjal, pesakit boleh memulihkan fungsi ginjal seperti keadaan sebelumnya dan menjalani hidup normal. Kini, terdapat kira-kira 50,000 pesakit CKD di Malaysia yang menjalani rawatan dialisis dan angka ini dijangka meningkat kepada 100,000 pada 2020.

pemindahan organ

Jadilah Penderma Untuk Pemindahan Organ

“Sebab semakin ramai pesakit menjalani rawatan dialisis untuk menguruskan keadaan mereka ialah kekurangan pemindahan ginjal di Malaysia. Sesetengah pesakit terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum menemui organ yang sesuai untuk mereka dan ada kalanya, penantian mereka mungkin sudah terlalu lambat,” kata Profesor Dr. Ng Kok Peng, pakar nefrologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC).

 

Pesakit yang memilih pemindahan ginjal daripada penderma juga menghadapi masalah, kerana kebanyakan pembedahan pemindahan organ hanya dijalankan di beberapa hospital kerajaan dengan sumbernya adalah terhad, manakala pesakit yang memilih hospital swasta terpaksa membelanjakan banyak wang untuk menjalani pembedahan pemindahan dan ini menyebabkan mereka memilih untuk menjalani rawatan dialisis,” tambahnya lagi.

 

Sementara itu, Dr. Hasdy Haron dari Pusat Sumber Transplan Nasional, berkata, “Dialisis menyingkirkan sisa buangan dalam darah daripada badan dengan menggunakan sistem penapisan luaran. Dialisis mengganggu kehidupan normal pesakit kerana mereka perlu pergi ke pusat dialisis dengan kerap dan ini menjejaskan keupayaan mereka untuk mengekalkan pekerjaan mereka,”

 

“Setiap sesi dialisis boleh mengambil masa sehingga empat jam, dan setidak-tidaknya pesakit perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu, ini tidak termasuk masa perjalanan dan menunggu. Masa begitu lama yang perlu dihabiskan untuk dialisis bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup pesakit, tetapi juga keluarga dan penjaga mereka,” katanya lagi.

 

Dr. Hasdy Haron menambah, “Justeru, kami percaya terdapat keperluan untuk terus meningkatkan kesedaran tentang pemindahan organ dan kekurangan penderma organ, terutama sekali  ginjal, dan pada masa yang sama menggalakkan orang ramai memberi persetujuan untuk mendermakan organ mereka.”

 

“Ada orang yang tidak bersedia untuk mendermakan organ mereka. Kalaulah mereka dapat melihat bagaimana organ mereka boleh menyelamatkan nyawa, mereka mungkin menukar fikiran. Bagi saya, tiada pengorbanan yang lebih besar daripada ini,” ujarnya.

pemindahan organ

Berikrar Sebagai Penderma Organ

Jogaton ini membabitkan larian sejauh 7KM dan 5KM. Peserta juga digalakkan untuk menjadikan jogaton ini satu acara keluarga dengan membawa anak-anak mereka bersama. Di samping itu, kira-kira 87 membuat ikrar sebagai penderma organ.

 

Novartis Corporation Malaysia ialah penaja utama Jogaton ‘Organs For Love’. Manakala penaja lain termasuk Youthtodays.com, Ultron, Checkpoint, The Box Shop, National Kidney Foundation, Glo, Wise Crafter, Julie’s Biscuit, Shoon Fatt Biscuits, Yosogo Stationery, Stars Archery, Sunway Lagoon, Deliver Eat, One World Hotel, Blackmores, Capri by Fraser, Aloft KL Sentral Hotel, Armada Hotel dan Myburgerlab.

Untuk maklumat lanjut tentang pemindahan organ atau acara ‘Organs For Love’ serta usaha mereka, sila ke laman Facebook di: https://www.facebook.com/organsforlove/