KEJOHANAN TAEKWONDO REMAJA NESTLÉ KOKO KRUNCH® KE-14

Kejohanan Taekwondo Remaja Nestlé KOKO KRUNCH® Ke-14 yang lalu memperlihatkan bakat-bakat baru Taekwondo bertarung untuk merebut kejuaraan dalam Pusingan Akhir, berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Dilancarkan pada tahun 2006 dengan sokongan Taekwondo Malaysia (WTF), Kejohanan Taekwondo Remaja Nestlé KOKO KRUNCH® menyediakan platform untuk membangunkan bakat muda di peringkat akar umbi dengan memberi mereka peluang menimba pengalaman pertama bertarung dalam pertandingan Taekwondo.

Kejohanan ini selari dengan komitmen Nestlé untuk menggalakkan gaya hidup yang lebih aktif di kalangan rakyat Malaysia.

Taekwondo Remaja

Tiga Tahun Berturut-Turut

Untuk tiga tahun berturut-turut, Kelab Koryo Taekwondo sekali lagi muncul juara tahun ini dan membawa pulang Piala Pusingan Tunku Imran.

Mereka memenangi trofi dengan 7 emas, 9 perak dan 25 gangsa manakala Smart Sathia mendapat tempat kedua dengan 6 emas, 1 perak dan 3 gangsa.

Amsyar Hadi Ahmad Yazid dari Smart Sathia berjaya memenangi anugerah persembahan terbaik kanak-kanak lelaki untuk kategori umur 10-12 manakala Vanessa Laveenia Axton dari kumpulan Koryo dinamakan pemenang kanak-kanak perempuan persembahan terbaik. Pemenang anugerah persembahan terbaik untuk kategori umur 7-9 dimenangi oleh Eshan Jay Rubendran (kanak-kanak lelaki) dari Jagoh Taekwondo dan Nur Adreanna Maryssa (kanak-kanak perempuan) dari kumpulan SARA.

Taekwondo Remaja

Platform Efektif

Tuan Suhardi Alias, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negara, telah merasmikan majlis penutup dan penyampaian pingat. Beliau berkata,“Kejuaraan Taekwondo Remaja Nestlé KOKO KRUNCH® ini merupakan platform yang sangat efektif. Pendedahan awal adalah penting untuk perkembangan atlet muda.

Kejuaraan ini menyediakan eksponen Taekwondo peluang, dan ia sememangnya sejajar dengan matlamat Kerajaan Malaysia untuk membuka pintu bagi atlet kebangsaan untuk mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.”

“Selain itu, sukan dapat membantu menyatukan keluarga dan negara. Kita dapat melihat bagaimana kejayaan atlet negara kita di peringkat antarabangsa disambut meriah oleh rakyat Malaysia. Dengan sokongan padu dan program yang tersusun di peringkat akar umbi, saya yakin bahawa negara Malaysia akan dapat meneruskan usaha untuk melahirkan atlet yang berbakat besar dan mampu mengharumkan nama negara,” tambah Tuan Suhardi Alias.

Taekwondo Remaja

Pupuk Nilai-Nilai Positif

Menurut Encik Laurent Therond, Pegawai Eksekutif Perniagaan, Cereal Partners ASEAN, “Sukan memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pembentukan bakat muda.

Tidak dinafikan bahawa sukan memupuk nilai-nilai positif seperti disiplin, kecekalan, keberanian dan sikap saling hormat-menghormati. Nestlé Malaysia memberikan sokongan padu terhadap pembangunan positif negara dan kami akan meneruskan usaha untuk menjadikan rakyat lebih sihat dari peringkat awal.”

“Komitmen kami untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih sihat tidak hanya terhad kepada arena sukan. Nestlé telah menghasilkan makanan berkhasiat kepada rakyat Malaysia sejak lebih seratus tahun, dan kami berharap untuk terus menghasilkan produk yang lebih sihat dan berkhasiat untuk semua,” ujar Encik Laurent.

Rebut Piala Pusingan

Seramai 354 pemenang pingat yang mewakili 19 kelab bertanding untuk merebut Piala Pusingan Tunku Imran Kejohanan Taekwondo Remaja Nestlé KOKO KRUNCH®.

Daripada jumlah 354 peserta ini, 115 mewakili kawasan Tengah, 86 dari kawasan Selatan, 96 dari kawasan Utara, 54 dari kawasan Pantai Timur, dan tiga dari Singapura.

Pusingan Akhir ini menyaksikan penyertaan daripada 175 peserta perempuan dan 176 peserta lelaki, dengan 169 peserta berumur 7-9 tahun dan 185 peserta berumur 10-12 tahun.

Secara keseluruhannya, kejohanan tahun ini yang sudah dijadikan acara tahunan kalendar WTF, berjaya menarik seramai 1,783 peserta dari seluruh Malaysia dan Singapura.

Dengan penuh kesedaran bahawa pembangunan atlet bertaraf dunia perlu dimulakan sejak kecil, Nestlé KOKO KRUNCH® benar-benar komited untuk menyokong acara-acara seperti Kejohanan Taekwondo Remaja Nestlé KOKO KRUNCH® untuk membantu mencungkil bakat atlet, serta memastikan mereka menerima sokongan yang diperlukan untuk menjadi juara dunia.

(Visited 3,782 times, 1 visits today)