MELAKA DESTINASI SULUNG SIRI COLOURS OF LIVES TRAVELOGUE MALAYSIA

Siapa yang tidak teruja setiap kali berpeluang berkunjung ke Melaka Negeri Bersejarah kerana di sinilah segala-galanya bermula. Sama ada anda datang bersama keluarga atau pun rakan-rakan, melawat Melaka tidak akan cukup sehari. Ada banyak tempat menarik yang perlu dikunjungi sekitar Melaka.

 

Ironinya, ramai yang terlupa bahawa Melaka juga mempunyai pantai yang tidak kurang menarik kerana ia bersempadan dengan Port Dickson iaitu pusat peranginan tepi pantai popular bagi warga tempatan di Malaysia.

 

Biasanya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka akan mengambil masa lebih kurang 2 jam jika melalui Lebuh Raya Plus. Bagaimanapun jika anda ada masa, apa kata anda masuk ke Melaka melalui laluan alternatif  iaitu Port Dickson – Tanjung Tuan – Kuala Linggi. Meskipun anda mungkin akan lewat satu atau dua jam, namun ia amat berbaloi.

 

Untuk menikmati kelainan perjalanan ke Melaka, maka edisi pertama siri jelajah Colours of Lives Travelogue Malaysia ini telah memilih laluan tepi pantai bermula dari Port Dickson. Jom, kita saksikan apa yang akan kita jumpa nanti.

melaka

Rumah Api Tanjung Tuan

Tatkala menyusuri ruang pantai, kepala yang berat terus terasa ringan. Nafas yang sesak kerana kesibukan kota justeru reda selepas menghirup udara segar. Kembali kepada alam semulajadi, itulah yang selalu kita idamkan apabila keluar dari kota kosmopolitan.

 

Apa lagi yang kita harapkan selain rasa damai dan tenang saat dihiburkan dengan deruan ombak gemalai dan angin sepoi-sepoi bahasa? ‘Saya cintakan laut!’ Jiwa kita terasa mahu menjerit rakus.

 

Rumah Api Tanjung Tuan

Menyusuri pantai dari Port Dickson ke Melaka akan menemukan anda dengan Tanjung Tuan atau Cape Recardo (dalam bahasa Portugis bermaksud tanjung runtuh). Di situ ada Rumah Api Tanjung Tuan yang mengadap Selat Melaka. Biarpun Tanjung Tuan betul-betul hampir dengan Port Dickson, namun sebenarnya ia terletak dalam Daerah Alor Gajah, Melaka. Jadi, selamat datang ke Melaka!

melaka

Imbas kembali lokasi ini pada sekitar tahun 1600-an, ia merupakan kawasan peperangan antara tentera Belanda dan Portugis. Cubalah bayangkan suasananya bila anda berada di sini.

 

Anda boleh mendaki hingga ke atas dan menikmati panorama laut dari puncak. Sungguh indah. Anda perlu membuat tempahan awal dengan Jabatan Laut Malaysia untuk menaiki Rumah Api yang cantik ini kerana lawatan dikendalikan secara perkumpulan.

 

Menara Rumah Api Tanjung Tuan setinggi 24 meters (79 kaki ) dan pastinya menjadi pengalaman menarik bila anda berpeluang mendaki anak tangga berpusing untuk sampai ke puncak. Penat terus hilang bila anda dapat menikmati pemandangan 360 darjah yang sangat menakjubkan.

 

Di sini juga ada Hutan Simpan Tanjung Tuan kaya dengan flora dan fauna serta menjadi lokasi burung-burung migrasi. Anda patut ke sini!

melaka

Lokasi – Cape Rachado, Tanjung Tuan, Alor Gajah, Melaka

 

Supai Fort, Kuala Linggi

Destinasi kedua yang tidak kurang menarik ialah Supai Fort, Kuala Linggi. Terletak kira-kira 30 kilometer dari Tanjung Tuan. Anda perlu melalui titi konkrit yang dibina oleh Majlis Daerah Alor Gajah dan berjalan melepasi Kota Supai Floating Seafood Restaurant.

melaka

Supai Fort  atau Kubu/Kota Supai ini dibina oleh Belanda dalam satu perjanjian dengan Bugis. Ia merupakan kawasan strategik untuk mereka memantau Selat Melaka dan mengawal segala pergerakan kapal yang masuk ke Sungai Linggi.

melaka

Nama Supai ini dikatakan berasal daripada nama syarikat yang dibawa dari India (Sepoys) yang disokong oleh tentera Belanda. Bagaimanapun perjanjian ini tidak diteruskan dan Belanda meninggalkan kubu ini tidak lama selepas ia siap.

melaka

Lokasi: Jalan Kampung Teluk Perun, Kampung Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru, Melaka

 

PNK Resort Melaka Barat

Selepas hampir 20 minit  perjalanan dari Supai Fort, kami sampai di tempat penginapan pertama iaitu PNK Resort Melaka Barat yang terletak di Kuala Sungai Baru. PNK ini adalah singkatan kepada Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat.

melaka

Lokasinya betul-betul terletak di jeti Kuala Sungai Baru. Ada pasar nelayan dan restoran ikan bakar. Pendek kata, tempat ini lengkap sebagai tempat pelancongan hidup. Anda boleh pelajari kehidupan sebenar nelayan yang keluar masuk menangkap ikan.

melaka

Untuk makluman, laut di sini tidak sesuai untuk bermandi-manda tapi cukup sekadar untuk menikmati suasana matahari tenggelam dan camar putih pulang ke sarang. Sambil itu, kita boleh saksikan pertemuan antara kuala sungai dan laut yang menakjubkan.

melaka

Bilik di resort ini tersedia dalam dua jenis iaitu Standard dan VIP. Untuk bilik standard ada 2 katil queen dan 1 katil bujang. Sesuai untuk 3 orang. Manakala bilik VIP ada 1 katil queen sesuai untuk 2 orang dengan water heater turut disediakan. Semua bilik berhawa dingin, jadi anda tidak perlu risau akan tidur kepanasan. Tapi suhu akan bertambah dingin pada sebelah pagi, waktu ini anda boleh matikan suis penghawa dingin sebelum anda menggigil kesejukan.

melaka

 

Kami sempat membersihkan diri dan bersiap dengan set penjagaan diri organik daripada Marini Naturale Magic yang merupakan antara penaja kami sepanjang pengembaraan Travelogue Malaysia ini. Set serba lengkap ini membuatkan badan, rambut dan wajah terasa segar sepanjang masa. Bila nak keluar jangan lupa gunakan OB powder di bawah lengan dan taburkan sedikit di dalam kasut. Sesuai sangat untuk orang-orang yang sedang mengembara seperti kami. Pasti tiada bau yang kurang enak!

 

Kemudian pada sebelah malamnya kita boleh menikmati ikan bakar enak yang dihidangkan di Restoran Ikan Bakar PNK. Kami telah dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan laut yang dimasak dengan pelbagai resepi. Antaranya ialah udang goreng, ketam telur asin, sotong goreng tepung, ikan bakar, pepahat masak pedas, ikan tiga rasa dan ikan sweet&sour. Rasanya memang tidak terkata.

Jika ada rezeki, anda boleh nikmati hidangan belangkas. Bagaimanapun, pada waktu kami berada di situ, belangkas kehabisan stok.

melaka

Lokasi: PNK Resort Melaka Barat, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka.

 

Dataran Keris Alor Gajah dan Medan Selera Menggong

Tak sah kalau tidak singgah ke Dataran Keris bila anda sampai ke Alor Gajah. Kenapa ia dinamakan Dataran Keris? Jika anda perhatikan, tentulah anda akan nampak replika sebatang keris yang tersergam indah tidak jauh dari pentas utama.

melaka

Para pengunjung pasti teruja dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar atau berswafoto di sini. Bahkan, dataran ini bukan sahaja menjadi pusat aktiviti setempat, malah mempunyai sebuah muzium di sebelah kanannya iaitu Muzium Adatistiadat.

melaka

Tambah menarik lagi ada sebuah medan selera di sebelah kiri Dataran yang dikenali sebagai Medan Selera Menggong. Apa yang menarik sangat di sini? Bagi yang tidak tahu, biar saya jelaskan. Di sini ada beberapa makanan yang ‘WAJIB’ cuba.

 

Pertama, Cucur UdangBaha Alor Gajah yang diusahakan oleh Haji Baharudin Mohd Tahir. Cucur udang ini sangat unik dan popular kerana selain sedap, cara ia dihidangkan juga berbeza. Cucur udang ini dimakan bersama hirisan timun, tempe dan tauhu.

melaka

Sosnya pula memang terbaik! Bahkan sos cucur ini boleh dipelbagaikan dan telah dikomersialkan oleh Haji Baharudin sendiri. Anda boleh dapatkan di sekitar Medan Selera dan kedai runcit di sekitar Alor Gajah.

melaka

melaka

Kedua, ada gerai satay yang popular iaitu satay tuna dan satay belut liar. Memang sedap!. Jadi, kalau anda berkesempatan ke Alor Gajah, singgahlah ke pusat bandar ini dan carilah Medan Selera Menggong berhampiran Dataran Keris.

melaka

Lokasi: Dataran Keris & Medan Selera Menggong, Alor Gajah, Melaka.

 

Sarimah Tapai

Sebaik mendengar lawatan kami seterusnya iaitu pusat industri tapai pulut, hati saya semakin teruja. Saya memang penggemar tapai pulut. Perjalanan agak sedikit mencabar kerana lokasi ini agak jauh ke pedalaman. Kami menelusuri kawasan kampung, ladang getah dan dusun.

melaka

Akhirnya kami sampai di kompleks kilang Tapai Pulut Sarimah. Hati semakin teruja apabila disambut dengan mercu tanda ‘House of Tapai Pulut Sarimah’. Kemudian kami berpeluang bertemu dengan En Aziz dan Puan Sarimah, pasangan suami isteri yang merupakan pengusaha tegar industri tapai pulut ini.

melaka

Jika di majlis jemputan kahwin, kita hanya berpeluang melihat tapai pulut dengan inovasi bungkusan yang menarik ini, kini saya bertemu sendiri dengan pembuatnya.

melaka

Keistimewaan tapai pulut Sarimah ialah cara ia dibungkus. Dengan menggunakan sehelai plastik dan kertas hijau bersaiz lebih kurang A5, tapai ini dibungkus begitu rapi mirip bungkusan daun pisang asli.

melaka

Kami turut dihidangkan dengan tapai pulut yang dicampur dengan ais krim vanilla. Memang sedap! Sebenarnya cara menghidangkan tapai ini boleh dipelbagaikan. Tapai pulut Sarimah memang terbaik!

melaka

Masa yang agak suntuk menyebabkan kami tidak boleh berlama-lama di sana. Bagaimanapun, pertemuan tersebut merupakan antara aktiviti yang paling bermakna dalam hidup saya.

 

Lokasi: Tapai Pulut Sarimah, Lot 2635, Kampung Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara, Melaka.

http://www.tapaipulutsarimah.com/

facebook: Tapai Pulut Sarimah

 

Turtle Sanctuary Conservation Center

Balik ke Pantai Tanjung Bidara, kami temui pusat penetasan penyu atau dikenali sebagai Turtle Sanctuary Conservation Center. Ia mempunyai sebuah galeri dan kolam penyu. Manakala di tepi pantai ada tempat mengumpulan dan penetasan penyu. Bagaimanapun, pusat ini masih dalam proses penambahbaikan. Mungkin ia akan lebih sesuai dikunjungi selepas kerja-kerja pembinaan kolam penyu selesai.

melaka

Lokasi: Turtle Sanctuary Conservation Center, Tanjung Bidara, Masjid Tanah Melaka.

 

Kompleks Falak Al-Khawarizmi

Usai makan malam di PNK, kami berkunjung pula ke Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang terletak di Tanjung Bidara. Selalunya kita hanya ambil tahu mengenai kompleks Falak ini apabila kita hendak melihat awal bulan atau hilal bulan untuk menandakan 1 Ramadan atau 1 Syawal.

Kita biasa menyebutnya anak bulan tapi istilah sebenar yang sepatutnya digunakan ialah awal bulan atau hilal bulan.

melaka

Sebenarnya, fungsi kompleks ini adalah pelbagai. Di sini terdapat tiga bangunan utama di dalam Kompleks Falak Al-Khawarizmi, iaitu Balai Cerap, Planetarium dan Pusat Latihan.

melaka

 

Balai cerap merupakan tempat untuk ahli astronomi atau ahli falak melakukan kajian-kajian saintifik berkenaan pergerakan objek-objek samawi dan fenomena-fenomena yang berkaitan. Balai cerap di sini mempunyai Teleskop RCOS berdiameter 16 inci yang merupakan teleskop utama di Balai Cerap Al-Khawarizmi.

melaka

Bertuah sungguh kami kerana berpeluang menyaksikan sendiri bulan dan bintang menerusi teleskop RCOS. Rasanya seperti menemui diri yang hilang. Perasaan yang paling dalam begitu tersentuh apabila menyaksikan kehebatan ciptaan Tuhan ini.

melaka

melaka

Selain itu, ada kemudahan tempat penginapan untuk para peserta program yang dianjurkan oleh kompleks ini.

 

Facebook: Balai Cerap Al-Khawarizmi

Laman web http://www.khawarizmiobs.com

Selesai lawatan hari pertama, kita sambung lagi catatan perjalanan Hari Kedua, Colours of Lives Travelogue Malaysia – Melaka, esok.

Colours of Lives Travelogue Malaysia dikendalikan oleh Borakkita.com dengan sokongan Tourism Malaysia. Manakala 123mamanet.com sebagai rakan media. Terima kasih juga kepada Tourisme Malaysia Melaka.

Terima kasih kepada para penaja Colours of Lives Travelogue Malaysia – Melaka.

Touch ‘n Go Malaysia, Plus Highway, Seremban – Melaka, PLUS Malaysia, Perodua, 888 Tea & Coffee, Marini Naturale Magic, Jabatan Laut Malaysia, Majlis Perbandaran Alor Gajah , Majlis Perbandaran Melaka, Tapai Pulut Sarimah, PNK Resort Melaka Barat, Cucur Udang Alor Gajah, Baju Melayu FZ by Ayana, Big Bibik (Baba & Nyonya), Coconut Shake Klebang, Homestay Kampung Ayer Limau, The Shore Oceanarium Melaka, The Shore Sky Tower Melaka, Perbadanan Muzium Melaka – Official, Melaka Tropical FRUIT FARM, Kuih Keria Haji Jalil Limbongan, Mini Malaysia and ASEAN Cultural Park, Turtle Sanctuary Conservation Center, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Rumah Tradisional Melaka Perigi Hang Tuah

 

BACA : DOMPET NIPIS? CUBA 5 PERCUTIAN BAJET KELUARGA