NOVARTIS SEMAI SIKAP POSITIF TERHADAP PESAKIT PSORIASIS

Memandangkan kira-kira 500,000 hingga 800,000 rakyat Malaysia menghidap psoriasis, seramai lima pesakit psoriasis telah memberanikan diri untuk tampil ke hadapan berkongsi pengalaman peribadi dan menceritakan kesan penyakit ini dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang keadaan mereka sempena Hari Psoriasis Sedunia, yang diperingati setiap tahun pada 29 Oktober.

 

Kempen ‘Be Pso Positive’ (Amalkan Sikap Positif), yang merupakan usaha sama antara Novartis Corporation Malaysia, Persatuan Psoriasis Malaysia dan True Complexion, telah menyaksikan lima pesakit – Rocyie, Sofia, Patrina, Charles, dan Aliff, mendedahkan parut tersembunyi masing-masing, yang membebankan mereka dengan keresahan selama bertahun-tahun. Mereka juga menerangkan cara mereka mengatasi masalah dan menangani keadaan, sambil terus bersikap positif.

 

“Perkara pertama yang orang tanya apabila mereka melihat tompokan pada kulit saya adalah sama ada penyakit saya ini berjangkit. Walaupun sudah menerangkan kepada mereka berulang-ulang kali bahawa psoriasis tidak berjangkit, saya masih rasa tersisih lebih-lebih lagi ketika mereka teragak-agak untuk bersalaman dengan saya,” kata Charles.

pesakit psoriasis

“Kadangkala apabila penyakit ini meragam dan menampakkan kesan pada wajah, orang lain akan memandang saya terutamanya di tempat awam. Saya rasa malu dengan penampilan diri, dan saya rasa seperti hendak bersembunyi atau duduk sahaja di rumah, di luar pandangan awam,” kata Aliff.

 

pesakit psoriasis

Dari kiri ke kanan – Charles, Patrina, Sofia, Rocyie dan Aliff.

Hampir 40% Daripada Pesakit Psoriasis Mengalami Masalah Psikologi

Psoriasis adalah sejenis penyakit autoimun kronik yang menjejaskan kulit dan sering menjelma sebagai tompokan merah menebal, yang diliputi oleh sel kulit mati berwarna putih keperakan. Tompokan ini sering terbentuk pada kulit kepala, lutut, siku dan bahagian bawah belakang.

 

“Saya membuat keputusan untuk mengambil bahagian dalam sesi foto ini kerana saya tidak mahu membiarkan keadaan ini membuat saya terus murung seperti pada masa lepas. Saya tidak mahu rasa malu lagi dengan keadaan diri saya dan berhasrat untuk memberi inspirasi kepada pesakit lain supaya lebih positif dalam menangani masalah mereka juga,” kata Rocyie.

pesakit psoriasis

Tinjau selidik global oleh Novartis bertajuk ‘Clear about Psoriasis’ (Jelas tentang Psoriasis) mendedahkan bahawa hampir 40% daripada penghidap psoriasis mengalami masalah psikologi akibat penyakit kulit mereka.

 

“Sesetengah penghidap psoriasis mungkin rasa murung dan resah dengan keadaan mereka, yang menjejaskan mereka dari segi fizikal dan emosi. Justeru, kita harus sedar akan cabaran yang dihadapi mereka dan memberikan sokongan positif kepada mereka. Pesakit hendaklah berbincang dengan profesional penjagaan kesihatan dan mencari rawatan yang paling sesuai untuk mereka,” kata Dr Peter Ch’ng, ahli dermatologi.

 

Galakkan Penghidap Psoriasis Bersikap Lebih Positif Terhadap Hidup Mereka

Sofia yang telah menghidap Psoriasis selama 25 tahun menambah bahawa menerusi sesi foto ini, beliau berharap untuk menggalakkan lebih ramai penghidap psoriasis agar bersikap lebih positif terhadap hidup mereka dan mendapatkan bantuan profesional.

 

“Terdapat persatuan seperti Persatuan Psoriasis Malaysia yang memberikan sokongan kepada pesakit dan merupakan sebuah kumpulan yang ditubuhkan oleh pesakit untuk pesakit. Tambahan lagi, anda sentiasa boleh berbincang dengan doktor atau ahli dermatologi anda tentang cara-cara baharu untuk merawat penyakit,” katanya.

pesakit psoriasis

“Kami harap kempen ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai penghidap agar tampil untuk bercakap tentang keadaan mereka. Jangan putus harapan!” kata Patrina.

pesakit psoriasis

Selain daripada membawa penghidap psoriasis ke hadapan kamera, sesi foto ‘Be Pso Positive’ turut dikendalikan oleh penghidap psoriasis, Raja.

 

“Saya amat gembira untuk menyertai kempen yang memperlihatkan kecekalan penghidap psoriasis melakukan apa sahaja yang diingini. Kempen seperti ini menjadi wadah untuk pesakit menampilkan keperibadian sendiri dan menyebarkan sikap positif kepada orang lain seperti mereka,” tambah Raja.

 

“Sebagai susulan kepada kempen ‘Let’s Be Clear about Psoriasis’ yang diadakan awal tahun ini, kami sukacita untuk meneruskan sokongan kepada penghidap psoriasis dan meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi mereka. Kami mahu memastikan mereka tidak putus asa dan mengetahui bahawa masih terdapat rawatan yang memberikan keputusan positif,” kata Patrik Grande, Presiden dan Pengarah Urusan Novartis Malaysia dan Brunei.

 

Untuk melihat galeri penuh sesi foto ‘Be Pso Positive’, sila layari laman Facebook Novartis Malaysia. Maklumat lanjut mengenai psoriasis boleh didapati di http://mypsoriasis.my/.