PPZ-MAIWP LANCAR KEMPEN BERZAKAT SKIM THOHIR 2018

Bersyukurlah kepada semua yang telah berjaya menyempurkan Zakat Fitrah masing-masing sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Namun, peluang untuk berzakat tidak berhenti di situ sahaja. Setiap hari dan saat, peluang untuk berzakat harta terus terbuka. Apatahlah lagi kepada mereka yang bekerja.

Urusan pembayaran zakat bagi mereka yang bekerja, kini begitu mudah untuk disempurnakan. Hari ini, Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) telah melancarkan satu kempen khas bagi pembayaran zakat iaitu melalui Skim Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir 2018). Acara pelancaran ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff.

Skim Thohir merupakan kemudahan saluran bayaran zakat pendapatan untuk menggalakkan lebih ramai menunaikan kewajipan berzakat melalui saluran potongan gaji. Melalui skim Thohir ini, kakitangan swasta atau kerajaan dapat menunaikan zakat tanpa bertangguh dan menjimatkan masa. Bahkan dengan cara ini, kutipan zakat akan meningkatkan dan sekali gus membantu meningkatkan ekonomi lebih ramai asnaf.

Kempen ini berlangsung selama 4 bulan iaitu mulai 1 Julai hingga 31 Oktober 2018. Sasaran yang diletakkan oleh PPZ_MAIWP adalah seramai 4000 kakitangan akan membuat potongan gaji zakat sepanjang kempen ini berlangsung.  Wakil-wakil majikan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Jalan Duta, Universiti Teknologi Malaysia, Kementerian Asas Tani, Touch & Go Sdn. Bhd. serta Telekom Malaysia Berhad turut hadir di majlis berkenaan.

Tn Hj Ahmad Syukri (tengah) bersama Puan Sharizan Mohd Saad (dua dari kiri), Pengarah Urusan Five Estec Travel Services Sdn. Bhd. ketika majlis pelancaran serta wakil beberapa majikan.

Hadiah percutian menarik untuk mereka yang berzakat melalui Skim Thohir

Bagi menggalakkan lagi penglibatan orang ramai terhadap kempen ini, 10 hadiah percutian bernilai RM28,000 turut ditawarkan kepada pembayar zakat melalui Skim Thohir yang bertuah.  Hadiah percutian ini telah ditaja oleh Estec Travel Services Sdn. Bhd.  Antaranya ialah Pakej Umrah untuk 2 orang, melancong ke Beijing dan Bangkok. Para pemenang bakal diumumkan di Karnival Zakat pada bulan November nanti.

PPZ-MAIWP juga menganjurkan aktiviti turun padang ke beberapa syarikat swasta dan badan kerajaan untuk memaklumkan mengenai skim ini. Selain itu, penerangan mengenai fungsi utama PPZ-MAIWP sebagai agensi yang dilantik untuk mengutip zakat di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan. Manakala agihan pula dilaksanakan oleh Baitulmal-MAIWP.  Jadi, apa tunggu lagi? Jom berzakat sekarang!

berzakat

Syarat-syarat penyertaan kempen:

Membuat potongan gaji zakat ATAU penambahan potongan gaji zakat dengan mengisi Borang Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir) melalui:

– 11 Kaunter Zakat PPZ-MAIWP

-Portal PPZ-MAIWP www.zakat.com.my

-Kaunter Zakat Bergerak PPZ-MAIWP

-Majikan di syarikat atau organisasi

-Menghubungi Talian Zakat 1300 88 5757