TRAGEDI RAMADAN KE-10 YANG TAK TERDUGA BERLAKU DEPAN MATA

SEMUA ORANG TAK SABAR HENDAK MENANTI KEHADIRAN LEBARAN YANG BAKAL TIBA DENGAN PENUH KEGEMBIRAAN. BERAYA BERSAMA ANAK-ANAK DENGAN BAJU SEDONDON ADALAH IDAMAN KEBANYAKAN IBU BAPA. NAMUN, MALANG TIDAK BERBAU BAGI IBU BAPA INI. TRAGEDI RAMADAN TELAH MELENYAPKAN KEGEMBIRAAN MEREKA.

 

Bersama-sama ini 123Mamanet ingin berkongsi kisah duka, pengalaman seorang petugas perubatan di bahagian Kecemasan yang tersiar lewat laman sosial baru-baru ini.

tragedi ramadan

TRAGEDI RAMADAN, BEGINI KISAHNYA…

Di sini aku nak kongsi dengan korang. Satu kisah sedih yang baru saja berlaku di bulan Ramadan tahun ni. Ya, Ramadan ke-10. Aku harap sangat agar kisah ni boleh dijadikan pengajaran dan iktibar kepada pembaca terutamanya kepada ibu bapa.

 

Untuk menjelaskan cerita, aku ni bekerja sebagai salah seorang healthcare provider sektor swasta. Aku seorang Penolong Pegawai Perubatan dan sekarang aku bekerja di sebuah lapangan terbang domestik belah utara bahagian perubatan kecemasan.

 

Tugasan kami merespond setiap kes-kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera sebelum dihantar ke hospital berdekatan.

 

Berbalik kepada kisah yang ingin diceritakan. Kisah ini berlaku pada Ramadan ke-10 tahun ini. Pada hari itu, aku ditugaskan pada shift sebelah petang. Jadi shift kami bermula pada pukul 2 petang hingga 9 malam. Kejadian berlaku semasa 10 minit selepas azan maghrib .

 

Ketika itu, kami yang bekerja seramai 3 orang bersama seorang doktor sedang menjamu makanan berbuka. Makanan tersusun diatas katil rawatan yang dilapik dengan surat khabar.

 

Sedang kami sibuk mengisi perut masing masing, dari kejauhan kedengaran sayup sayup suara seorang lelaki menjerit meminta tolong. Semakin lama semakin dekat.

 

Yaa… tandanya kami bakal menerima satu kes walk in. Dengan segera makanan yang masih di mulut ditelan segera. Yang masih di tangan disuap penuh ke mulut. Makanan yang tadinya penuh di atas katil rawatan dibungkus semula.

 

Kelihatan kelibat seorang lelaki berlari pantas ke base kami. Di tangannya sedang mendukung seorang bayi berumur lingkungan 1 tahun 5 bulan. Bayi lelaki. Kepala nya terlentok di bahu ayahnya.

 

Tangannya lemah tergantung. Turut berlari anak dibelakang lelaki itu, seorang wanita dan seorang kanak kanak lingkungan 4 tahun.

 

Masuk sahaja di base, si ayah merayu sambil menangis meminta tolong. Bayinya tidak sedarkan diri. Kami segera baringkan di atas katil rawatan. Masya-Allah. Kelihatan muka bayi sudah cynosis (kebiruan).

 

Sedang doktor cuba membuka airway (salur pernafasan) dan memerhati sekiranya ada foriegn body dan dibantu dua kawanku, aku segera bertanya pada si ayah. Apa yang telah berlaku sehingga bayinya tidak sedarkan diri.

 

History of presenting illness amat penting untuk diketahui supaya dapat mempercepatkan diagnosis dan rawatan. Si ayah tidak mampu berkata apa. Hanya menangis dan menyalahkan diri sendiri.

 

Beberapa kali diulang ayat, “Aku yang salah, aku yang salah”. Soalan aku ditujukan kepada wanita tadi. Kelihatan seperti ibu kepada bayi tersebut. Si ibu menceritakan kejadian yang berlaku.

tragedi ramadan

BAYI TERCEKIK KACANG

Mereka sekeluarga baru sahaja sampai ke destinasi. Berbuka puasa di foodcourt tingkat 1. Bayi itu di letakkan di dalam stroller. Sedang mereka menikmati juadah berbuka, mereka tidak perasan bahawa anak sulung yang berusia 4 tahun turut menyuapkan makanan berupa kacang ke mulut adiknya. Apa yang mereka sedar, anak kecil itu menangis dan muka kelihatan membiru.

 

Aku tangkas menceritakan kepada doktor secara ringkas. Doktor melakukan suction. Didapati beberapa biji kacang tanah disedut masuk kedalam mesin suction itu. Pernafasan bayi itu telah terhenti sejak mula sampai.

tragedi ramadan

Doktor yakin bahawa terdapat banyak lagi foriegn body yang telah masuk ke trachea dan paru-paru. Resusitasi chocking dilakukan dengan segera. CPR juga turut dimulakan. Aku segera menyediakan peralatan BVM (Bag Valve Mask) untuk pemberian oksigen 100%.

 

Dengan tangkas kami segera menghantar bayi kecil ini ke hospital berdekatan yang memakan masa hanya 13 minit dari base. Ibu bapa bayi ini juga turut serta menaiki ambulance kami.

 

Sampai sahaja di Emergency Room, proses resusitasi diteruskan lagi beberapa minit. Si anak sulung diam tak mengerti apa. Ayah dan ibu masih menangis menyesal kelalaian mereka. Tepat pukul 8.30 malam, proses resusitasi dihentikan.

 

Kekal tidak bernafas dan tidak lagi bernyawa. Sebaik sahaja doktor memaklumkan kepada ibu ayah bayi tersebut, maraung si ibu memeluk anaknya yang telah kaku tidak bergerak. Wajah bayi itu pucat dan kebiruan.

 

Si ayah memeluk erat anak sulungnya. Setelah selesai mengisi beberapa dokumen yang diperlukan. Kami pulang ke base. Makanan berbuka tidak lagi diusik. Terasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan satu nyawa yang baru hendak mengenal dunia.

 

Tenanglah kamu wahai anak syurga. Moga kejadian ini memjadi asbab untuk kamu memimpin tangan kedua orang tua mu masuk ke dalam syurga.

 

Apa yang ingin aku sampaikan, walau apa pun yang kita lakukan, jangan lalai. Perhatikan tingkah laku anak-anak. Kadang-kadang sesuatu perkara itu berlaku tanpa disangka-sangka. Jangan menyesal di kemudian hari.

 

Walau apa pun, setiap kejadian itu ada sebabnya. Jodah, ajal maut dan pertemuan itu ditentukan Allah. Moga kisah ini menjadi pengajaran untuk kita peka dengan keadaan sekeliling. Selamat berpuasa. Wassalam.

-Unsung Hero

(Assistant Medical Officer)

tragedi ramadan

Nasihat Mamanet, hati-hati bila keluar membeli-belah atau makan. Biarpun anda sibuk dan sebagainya, perhatian pada anak adalah yang utama. Semoga kisah tragedi Ramadan ini dapat dielakkan dan tidak berulang kepada sesiapa sahaja.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Gambar sekadar hiasan

 

  • Anda Suka Artike Ini? Kongsi Artikel Ini Dengan Rakan Facebook