TIDAK ada siapa pun yang ingin punya anak suka berbohong. Tetapi tahukah anda, bahawa seorang anak sudah boleh berbohong sejak berusia empat tahun? Pertanyaannya adalah mengapa anak berbohong?
Fakta yang memeranjatkan bukan? Setahu kita sifat anak itu polos dan tidak sesuai untuk berbohong. Lagi pun untuk apa anak sekecil itu berbohong? Bukankah dia punya kasih-sayang yang cukup daripada ibu bapa sebagai pelindungnya? Jadi kenapa dia perlu melindungi dirinya dengan ‘berbohong’?
Ada 5 alasan lain mengapa anak suka berbohong untuk ibu bapa fahami dan tangani.
- Tahu kelemahan ibu bapa
Anak suka berbohong bila dia tahu kelemahan ibu bapanya. Alasan paling ringkas jika malas ke sekolah ialah ‘sakit perut’. Ibu bapa biasanya lemah bila berlaku hal yang melibatkan masalah kesihatan. Selalunya bila anak sakit, ibu bapa akan segera membawa ke klinik dan doktor akan berikan ubat serta cuti sakit!
Pernah lihat bibir munggil itu tersenyum sebaik doktor sebut tentang MC? Hmmm….bijak bukan si kecil ini memilih kaedah berbohong. Dalam fikiran si kecil, ibu bapa tidak akan marah jika dia sakit. Maka pura-pura sakit ialah senjatanya yang utama untuk ponteng sekolah.
- Takut dihukum
Sebuah kajian mendapati bahawa hukuman akan membuat anak tidak mahu mengaku kebenaran. Hal ini terjadi kerana anak bimbang jika dia berkata jujur, maka dia akan dihukum. Bagaimana anak boleh membaca fikiran ibu bapa yang dia akan dihukum?
Mudah saja. Kucing kalau pandai bercakap pun dia boleh beritahu. Lihat wajah ibu bapa sewaktu sessi ‘soal-siasat’. Ibu bapa mungkin nampak seperti jin alfrid. Matanya merah, telinganya tegak, suaranya keras membentak dan di tangannya ada cemeti/rotan.
Oleh itu, untuk elak anak bohong, ibu bapa hendaklah menyerupai ‘malaikat’ yang lemah lembut dan tenang serta membawakan ayat-ayat cinta. Saat itu mungkin anak akan bercakap jujur dan tidak takut dengan hukuman yang bakal diterima.
- Ingin diperhatikan dan dipuji
Keinginan terhadap perhatian dan pujian kerap kali membuat anak membuat cerita tentang dirinya, padahal hal tersebut tidak pernah terjadi. Misalnya, anak mengatakan kepada rakan-rakannya bahawa dia ada permainan yang hebat atau mempunyai binatang peliharaan yang serupa dengan rakan lain yang ‘cool’ di sekolahnya.
Ibu bapa perlu sering memberi perhatian dan pujian pada anak hingga dia tidak perlu menagih daripada orang lain untuk meningkatkan ‘martabatnya’. Anak yang sering direndah-rendahkan oleh ibu bapa akan mempunyai jati diri yang rendah.
- Tuntutan ibu bapa yang terlalu tinggi
Seringkali ibu bapa memberi tuntutan yang terlalu tinggi pada anak, sedangkan anak berasa tidak mampu untuk memenuhi tuntutan tersebut. Akibatnya anak suka berbohong untuk ‘selamat’ daripada bebelan atau kemarahan ibu bapa. Contohnya dia ada kertas soalan yang banyak untuk dijawab. Di luar pemerhatian ibu bapa, dia akan meniru sahaja kertas jawapan yang ada pada belakang buku. Asalkan kerjanya siap, ibu bapa akan berpuas hati.
Ibu bapa usah terlalu memaksa anak. Dia akan kepenatan jika diasak menghadiri kelas tuisyen selepas sekolah. Biasanya ibu bapa akan menghantar anak ke kelas seperti Kumon dan sebagainya. Bayangkan jika anak anda bersekolah kebangsaan dan sekolah agama. Kemudian perlu pula ke kelas tambahan. Sesetengah anak memang dengan berani membantah tidak mahu ke kelas tambahan tetapi ada yang memilih untuk patuh sambil berbohong.
- Daya imaginasi yang sangat tinggi
Ada kalanya daya imajinasi anak-anak yang sangat tinggi hingga membuat anak tidak mampu membezakan antara khayalan dan kenyataan. Lebih-lebih lagi apabila dia mula mendapat perhatian daripada cerita-ceritanya atau terpengaruh dengan cerita rakan lain. Contohnya, dia mengatakan yang dia boleh melihat hantu atau ada teman yang pelik di rumah.
Jika tidak dibendung akan berlarutan hingga ke dewasa. Di belakangnya, anak ini akan terkenal dengan kriteria ‘gebang lebih’ oleh rakan-rakannya. Hal ini kerana tidak sukar untuk mengetahui sama ada orang itu ‘berbohong’ atau berkata benar. Ibu bapa boleh bantu dengan alih imaginasi anak-anak kepada perkara yang bermanfaat, misalnya menyuruh mereka menulis cerpen atau cerita pendek.
Walau apapun alasannya anak suka berbohong, ibu bapa perlu mencipta komunikasi yang lebih kondusif, agar mendorong anak menjadi jujur dan bertanggung jawab atas segala sebab dan akibat yang dilakukannya.
Beri ruang untuk dia bercerita dan ibu bapa tidak perlu selalu ‘bertempik’ atau menghukum. Semua orang melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang sempurna. Jadilah ibu bapa yang pemaaf dan bertolak ansur. Insya-ALLAH anak-anak tidak akan suka berbohong lagi. Jika anak suka berbohong juga, maka biarlah dia belajar daripada kesilapannya. Hal itu akan mematangkannya.
[btn text=”LIKE MAMANET DI FACEBOOK” tcolor=#FFF bcolor=#FF00FF thovercolor=#FFF bhovercolor=#0000FF link=”https://www.facebook.com/harianwanita” target=”_blank”]