HABIB DI SEMUA HOUSE KUALA LUMPUR AKAN DITUTUP SETELAH 36 TAHUN BEROPERASI

Berjalan menyusuri kawasan yang sentiasa hiruk-pikuk dengan manusia yang sibuk dengan urusan dunia sudah menjadi kebiasaan di sekitar Pusat Membeli Belah Semua House. Namun, sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik pameran HABIB, memori silam kembali bermain di ruang minda membawa ke detik pertama kali bilik pameran ini dibuka iaitu pada tahun 1986.

Menjadi bilik pameran HABIB yang pertama dalam menyusun langkah dan melakarkan kejayaan sehingga berkembang ke hari ini, bilik pameran HABIB Semua House mempunyai seribu satu cerita di sebalik kilauan berlian dan permata yang dipamerkan. 

Terletak di kawasan sekitar Kuala Lumpur, bilik pameran ini berada bersama deretan penghuni lain di dalam Pusat Membeli Belah Semua House. Nama ‘Semua House’ membawa erti ‘rumah kepada segalanya’ benar-benar menggambarkan segala isi alam yang ada dijual di situ dari barangan pengantin sehinggalah ke barangan kemas.

Dari situlah bilik pameran HABIB Semua House bermula dengan menjadi salah sebuah penyewa di pusat membeli belah yang terkenal pada zaman 90an.

Antara detik terindah yang masih segar dalam ingatan adalah suatu masa dahulu ketika bilik pameran penuh dibanjiri dengan kehadiran pengunjung sehingga kakitangan HABIB yang bertugas di ibu pejabat termasuklah Dato’ Sri Meer Habib turut bersama-sama meringankan tulang membantu melayani pelanggan.

Hubungan yang terjalin antara staff HABIB dan pelanggan bukan hanya berdasarkan jual beli namun ianya telah membentuk sebuah hubungan persahabatan yang akrab sehingga ke hari ini dari generasi ke generasi. 

30 September 2022 Hari Terakhir

Sebelum bilik pameran HABIB menutupkan tirai buat selamanya, HABIB berlapang dada menyambut kehadiran para pelanggan dengan tangan yang terbuka sehinggalah 30 September ini.

Selepas ini, tiada lagi suasana riuh-rendah dari para pengunjung yang menyinggah di Semua House setelah bersiar-siar di sekitar Jalan TAR terutamanya ketika bulan Ramadhan. Kawasan Semua House pastinya akan sunyi sepi tidak seperti dahulu lagi. 

Kenangan sepanjang bilik pameran HABIB Semua House beroperasi adalah sesuatu yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa pun. Sokongan yang tidak pernah henti daripada para pelanggan sentiasa menjadi pembakar semangat HABIB untuk sentiasa menawarkan perkhidmatan yang terbaik.

Penutupan bilik pameran HABIB Semua House ini bukanlah suatu penamat tetapi suatu perjalanan kehidupan yang membuka kepada seribu satu permulaan yang baru. Terdapat lebih 30 bilik pameran untuk dikunjungi selepas ini di seluruh negara termasuklah di Jalan Bunus yang terletak hanya satu kilometer dari Semua House. 

(Visited 4,127 times, 1 visits today)

Back to top