Hari Jantung Sedunia Tingkatkan Kesedaran Kesihatan Jantung| Dalam usaha mengekalkan misi ke arah hidup yang lebih sihat, Unit Makmal Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini telah menjadi tuan rumah kepada majlis Hari Jantung Sedunia.
Acara ini bukan sekadar bertujuan untuk memberikan maklumat, tetapi juga sebagai wadah yang bermakna untuk bertukar pendapat dan pengetahuan tentang penjagaan jantung.
Bertemakan Use Heart Know Heart
Dengan tema “Use Heart Know Heart,” majlis yang berlangsung di Oriental Pearl Hall, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort Kuala Lumpur ini telah dirasmikan oleh Pengarah PPUM Profesor Dr. Nazirah Hasnan.
Menggabungkan elemen hi-tea yang santai dengan sesi seminar daripada pakar-pakar terkemuka dari Unit Makmal Kardiologi PPUM.
Bukan Hanya Angka, Penyakit Jantung Iskemia dalam Konteks Malaysia
Mengetengahkan kepelbagaian kempen kesedaran sebelum ini, Majlis Hari Jantung Sedunia mengambil pendekatan serius untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya penyakit jantung, terutama penyakit jantung iskemia.
Berdasarkan Data Malaysia 2019/2020 dari National Cardiovascular Disease Database (NCVD), 17% kematian di Malaysia disebabkan oleh penyakit ini.
Menggali Punca, Aterosklerosis dan Serangan Jantung
Sesi interaktif dimulakan dengan pemahaman mendalam tentang penyakit jantung iskemia, juga dikenali sebagai penyakit arteri koronari.
Profesor Madya Dr. Alexander Loch, seorang Pakar Kardiologi terkenal dari PPUM, menerangkan bahawa serangan jantung seringkali berpunca daripada aterosklerosis. Di mana plak lemak menumpuk dalam arteri jantung, mengecilkan saluran darah dan mengurangkan bekalan oksigen.
Profesor Madya Dr. Alexander Loch turut mengemukakan perbahasan mendalam mengenai perbezaan antara serangan jantung dan kegagalan jantung. Statistik umur pesakit dan cabaran rawatan turut dibongkarkan,memberikan pandangan yang lebih jelas tentang situasi kesihatan di Malaysia.
Profesor Madya Dr. Alexander Loch membawa kami ke dalam dunia statistik serangan jantung dengan menyatakan purata umur pesakit, iaitu 57.8 tahun, dengan 17.4% wanita dan 82.6% lelaki.
Menariknya, beliau menekankan bahawa kebanyakan pesakit serangan jantung datang untuk rawatan agak lewat, yang turut menyumbang kepada peningkatan kadar kematian akibat penyakit jantung.
Ketika menyentuh topik kegagalan jantung, beliau menjelaskan bahawa peringkat ini mencatatkan 3-20 kes bagi setiap 1000 populasi. Bagi mereka yang berumur lebih 65 tahun, anggaran kes mencapai 100 per 1000 populasi.
Fakta yang lebih mengejutkan ialah 6% hingga 10% daripada kemasukan perubatan di Malaysia dikaitkan dengan kegagalan jantung. Info ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai impak penyakit jantung terhadap masyarakat
Menurut beliau, peningkatan kes penyakit jantung di Malaysia menuntut tindakan segera.Masyarakat digalakkan untuk menjalani aktiviti fizikal, mempraktikkan pemakanan sihat dan mengurangkan stres.
Selain itu, penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap faktor-faktor risiko yang berkaitan dengan penyakit jantung.Faktor risiko seperti gaya hidup tidak sihat dan akses terhadap rawatan juga perlu diatasi. Ini langkah penting untuk memastikan komuniti kita lebih sihat dan terhindar dari risiko penyakit jantung.
Baca Juga:
Perjalanan Menyentuh Hati dari Pesakit Serangan Jantung
Salah satu bahagian paling menyentuh hati adalah perkongsian dari dua pesakit jantung yang telah mengalami serangan dan menerima rawatan di PPUM.
Mereka membuka pintu kepada dunia keadaan badan mereka sebelum menyedari penyakit ini, menekankan kepentingan kesedaran diri dan rawatan yang cepat.
Masa Depan Penjagaan Kesihatan Jantung & Rancangan PPUM
Profesor Dr. Imran Zainal Abidin mengakhiri majlis dengan merangkumkan perkembangan terkini dalam rawatan penyakit jantung. Beliau mengupas topik “Care for Cardiac Patients at UMMC: The Future”.
Di samping memperkenalkan Primary Percutaneous Coronary Intervention (PCI), satu prosedur canggih. Ia dilakukan tanpa pembedahan yang menggunakan catheter fleksibel untuk membuka saluran darah di jantung yang tersumbat oleh plak aterosklerosis dengan meletakkan stent, membawa harapan baru untuk pesakit serangan jantung.
Profesor Dr.Imran turut memberitahu bahawa hanya 6.6% pesakit serangan jantung yang menerima rawatan PCI. Ini disebabkan oleh cabaran kos perubatan, kelewatan dalam memberi rawatan,dan isu logistik.
Bagaimanapun, beliau menyentuh perancangan positif untuk membuka lab operasi Primary Angioplasty Cardiac pertama di Malaysia.
Diharapkan, lab yang dijangka beroperasi pada suku tahun 2024, membawa misi menyelamat dan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakit yang mengalami serangan jantung akut.
Selain itu, beliau turut berkongsi beberapa kaedah kemajuan dalam angioplasti koronari sebagai alternatif terbaik untuk merawat pesakit.
Ini bukan sahaja meramalkan masa depan rawatan penyakit jantung, tetapi juga membuka mata kita kepada inovasi yang bakal menjadikan perubahan besar dalam dunia perubatan kardiologi.
Kempen Bergerak oleh Unit Makmal Kardiologi PPUM
Tidak terhenti pada acara megah sahaja, Unit Makmal Kardiologi PPUM memahami bahawa kesihatan bermula di peringkat komuniti. Mereka menganjurkan kempen kesedaran tidak hanya di ruang tertutup, tetapi juga di sekolah-sekolah dan jabatan kerajaan.
Langkah ini bertujuan untuk membuka pintu ilmu kesihatan jantung kepada masyarakat melalui pusat pemeriksaan bergerak dan booth yang bersifat langsung dan mesra.
Dengan memberikan akses kepada maklumat secara terus kepada masyarakat, PPUM mendedahkan mereka kepada pengetahuan dan amalan kesihatan yang lebih baik. Ini adalah langkah proaktif untuk menyokong penekanan majlis ini terhadap kesedaran dan pencegahan penyakit jantung.
Majlis Hari Jantung Sedunia Penuh Makna!
Melalui majlis ini telah mencipta satu titik permulaan yang bermakna untuk membawa masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti.
Dengan memberikan pengetahuan yang lebih baik kepada masyarakat,ia dapat membentuk masyarakat yang lebih sihat dan mengurangkan kadar penyakit jantung.
Secara tak langsung, kesedaran yang terus-menerus ini juga dapat merapatkan jurang pengetahuan mengenai kesihatan jantung dan menjadikan masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap ancaman penyakit ini.
2 thoughts on “Hari Jantung Sedunia: Use Heart Know Heart anjuran Unit Makmal Kardiologi, PPUM”