BIAR dinasihat agar jangan aktif lagi dalam dunia pengarahan oleh anak-anak dan keluarganya tetapi dia tetap tekad mahu melahirkan mawar putih sebagai menghargai Allahyarham suami tercinta, Dato’ Jamil Sulong. Dia tahu anak-anak bimbang dengan kesihatan dan tekanan yang bakal diterimanya apabila kembali ke lokasi. Dia hargai itu tetapi Dato’ Rosnani Jamil mahu mengabadikan karya akhirnya dalam industri filem sebagai pengarah. Dia berjanji selepas filem ini dia tidak akan mengarah lagi.
“Saya buka dunia pengarahan saya dulu dengan sesuatu yang indah dalam hidup saya iaitu. ‘Mawar Merah’. Jadi, biarlah saya tutup dengan sesuatu yang bersih, ‘Mawar Putih’,” ujarnya.
Menurut Mak Nani, filem ‘Mawar Merah’ melambangkan kematangan dalam pencarian kerjayanya dan dunia pengarahan. Kini dia mahu menutupi dunia seninya dengan sesuatu yang lebih tulus dan bersih. Secantik dan sewangi ‘Mawar Putih’. Judul mawar menjadi pilihan kerana itu awalan namanya ‘ros’.
Mak Nani sanggup berhabisan untuk menerbitkan filem ‘Mawar Putih’. Dia menggunakan semua wang simpanannya selama ini. Dia juga sedar filem ini ada kekurangan.
Mak Nani, satu-satunya seniwati veteran yang masih aktif dalam dunia seni dan mendapat pencapaian tertinggi dalam dunia seni tanah air. Memulakan kerjaya sebagai pelakon biasa kemudian berpeluang melanjutkan pelajaran ke London dalam jurusan filem dan selepas itu melebarkan sayapnya dalam dunia seni sebagai penulis skrip, penerbit dan pengarah pula.
‘Mawar Putih’ memulakan penggambarannya pada 17 Ogos 2015 dan selesai pada September 2015. Pilihan lokasi selain Kuala Lumpur, Mak Nani juga memilih tanah kelahirannya Padang dan tidak ketinggalan Jakarta serta Bukit Tinggi, Sumatera.
Mak Nani memang sentiasa dekat dengan negeri kelahirannya itu. Tidak hairan dalam filem ini dia turut mengundang dua pelakon Indonesia sebagai pelakon utama dan pembantu.
“Mak ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua keluarga Mak yang menyokong Mak. Kepada semua wartawan yang dari dulu hingga kini masih memberi Mak sedikit ruang walaupun saya ni orang lama. Para karyawan dan pelakon yang sudi bekerja dengan Mak dalam serba kekurangan ini juga mereka yang pernah bekerja dengan Mak. Baik mereka di belakang tabir mahu pun para pelakon dalam filem Mak sebelum ini.
Tidak lupa kepada Finas yang turut membantu Mak menyediakan sedikit peruntukan untuk promosi filem ini. Ingin Mak ulangi lagi terimalah filem Mawar Putih Mak sebagai satu hasil kerja wanita berusia 80 tahun yang tidak pernah kenal penat dan jemu untuk berkarya.”
Kisah Mawar Putih
Mawar Putih mengisahkan sebuah keluarga bangsawan yang mempunya seorang anak gadis cantik dan bekerjaya hebat. Keluarganya mempunyai percaturan sendiri dalam mencari pasangan hidupnya. Namun, si anak tidak sangka dia jatuh cinta dengan lelaki luar daripada kelompok keluarganya.
Tengu Sherina jatuh cinta dengan Irwan yang ditemui di rumah temannya. Cinta mereka begitu mendalam. Hubungan mereka nyata mendapat halangan kerana keluarga Tengku Sherina begitu mengutamakan kedudukan dan darjat.
Mampukah cinta mereka bersatu? Mahu menurut kata keluarga tidak mungkin Kerana kasih sayang mereka begitu mendalam. Kekeliruan hubungan ini Berpanjangan apabila Aidil bertemu dengan Cinta dalam percutiannya di Padang, Sumatera.