Bulan puasa sudah tinggal beberapa hari saja lagi. Tapi, puasa ganti sudah diselesaikan atau belum? Puasa ganti atau qada adalah bagi menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan pada Ramadan tahun lalu.
Jika belum, anda masih punya masa untuk puasa ganti atau membayar ‘hutang kepada Allah’ sebelum menjelangnya Ramadan kali ini. Cara lafaz niat puasa ganti, ganti puasa atau qada’ puasa:
نويت صوم غد عن قضاء فرض رمضان لله تعالى
Nawaitu sauma ghodin an’ qada’e fardhu ramadhona lillahi taala
Maksud : Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala Waktu Qada’ Puasa Ramadhan.
Qada’ atau mengganti puasa Ramadhan, wajib dilaksanakan sebanyak hari yang telah ditinggalkan, sebagaimana termaktub dalam Al-Baqarah ayat 184:
أَيَّاماً مَّعْدُودَاتٍ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
(iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
قَضَاءُ رَمَضَانَ إنْ شَاءَ فَرَّقَ وَإنْ شَاءَ تَابَعَ
“Qada’ (puasa) Ramadhan itu, jika ia berkehendak, maka ia boleh melakukannya terpisah. Dan jika ia berkehendak, maka ia boleh melakukannya berurutan. ” (HR. Daruquthni, dari Ibnu Umar)
Bagaimana pula kalau anda belum ganti puasa untuk puasa yang ditinggalkan pada Ramadan tahun-tahun sebelumnya?
Kejadian seperti ini berlaku mungkin disebabkan pelbagai punca sama ada positif atau negative misalnya selalu ada halangan, selalu sakit, sengaja bertangguh dan sebagainya. Penangguhan atau penundaan pelaksanaan qada’ puasa Ramadhan sampai tiba Ramadhan berikutnya tanpa halangan yang sah, maka hukumnya haram dan berdosa. Bagaimanapun, kalau disebabkan uzur yang selalu menghalanginya, maka tidaklah berdosa.
Baca juga: Sekali sekala pekena dengan sambal Jantung Pisang memang boleh terangkat selera.
Dalam hal ini, anda perlu membayar Fidyah iaitu denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya.
Hukumnya adalah wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan. Pada waktu yang sama anda juga wajib ganti puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan (bagi yang berkemampuan untuk puasa).
Sebab dikenakan fidyah dan cara kiraan:
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.
Sebab-sebab Dikenakan Fidyah:
- Uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
- Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
- Ibu yang menyusukan anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
- Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
- Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
Baca juga: Jom praktik tiga Cara Cepat Menghilangkan Lemak Di Perut yang Mamanet suka amalkan ini.
Taksiran Fidyah
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
Kadar Bayaran Fidyah
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.75.
Contoh:
Jika meninggalkan puasa selama lima hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga tiga kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:
RM1.75 (1 cupak) X 5 hari X 5 tahun = RM43.75
Semoga semua di kalangan kita dapat menyempurnakan semua ‘hutang’ ibadah kita kepada Allah dan sentiasa berusaha meningkatkan iman dalam diri kita dari masa ke masa. Walaupun tempoh untuk ganti puasa itu panjang, namun elakkan menangguh dan menggantinya di saat-saat akhir sebelum menjelang Ramadan yang baru.
Menurut Ustaz Zaharuddin dalam laman sesawang beliau, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Renung-renungkan!