MASALAH tekanan perasaan tidak boleh diambil mudah. Jika dibiarkan, ia mungkin akan menjebakkan diri kita dalam statistik jenayah. Ibu bapa khususnya terdorong melakukan kekerasan kepada anak-anak apabila tidak dapat mengawal marah.
Ada kala kesalahan anak itu tidak boleh dianggap langsung sebagai kesalahan tetapi telah membangkitkan kemarahan ibu atau bapa hingga bertindak memukul.
Awas! Jika kita begitu mudah marah dan memukul anak atau orang lain ertinya kita dalam ZON BAHAYA. Segera periksa tahap tekanan perasaan dan kesihatan mental kita!
Meskipun kita ada masalah dengan pasangan atau masalah kerja dan keluarga tetapi usah jadikan anak atau pasangan sebagai mangsa. Api yang kecil jika dibiarkan akan jadi besar dan membakar diri kita semula.
Senario masalah kesihatan mental
Kajian kesihatan dan morbiditi di peringkat kebangsaan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1996 menunjukkan 10.7% rakyat Malaysia mengalami masalah mental dan statistik ini adalah bersamaan dengan statistik antarabangsa.
Statistik ini terus meningkat dari tahun ke tahun dan pada tahun 2006 telah mencecah 11.2%. Jika diambil kira dengan pertambahan penduduk maka jelas ia berkadaran terus dan menjelang tahun 2020, salah satu daripada sakit jiwa atau gangguan mental ini iaitu kemurungan dijangka menduduki tempat kedua dari segi beban penyakit selepas penyakit jantung!
Dari segi klinikal, tekanan perasaan akan menjurus kepada beberapa masalah kesihatan. Menurut artikel Dr. Lim Jac Fang yang dipetik daripada The Malaysian Medical Gazette, respon badan yang telah “diprogramkan” dinamakan “Respon Umum terhadap Tekanan” termasuk:
- Peningkatan tekanan darah.
- Peningkatan metabolisma (cth: Peningkatan denyutan jantung, peningkatan pernafasan).
- Pengurangan sintesis protein, pergerakan usus (pencernaan), sistem imun dan alahan.
- Peningkatan koleterol dan asid lemak di dalam darah untuk sistem penghasilan tenaga.
- Radang setempat (kemerahan, bengkak, panas, dan kesakitan).
- Pembekuan darah yang lebih pantas.
- Peningkatan penghasilan gula dalam darah untuk tenaga.
- Peningkatan penghasilan asid di dalam perut.
Apakah jenis-jenis penyakit jiwa (tekanan perasaan)?
Seperti yang dipetik dari laman web relaksminda, secara umumnya masalah penyakit jiwa ini boleh dibahagikan kepada tiga :
- Kegelisahan (Neurosis)
Rasa mudah marah, tidak boleh menumpukan perhatian, tidak dapat tidur, berasa takut atau fobia, resah, gentar, sejuk tangan dan gejala-gejala badan yang lain. Seringkali berlaku akibat dari tekanan kehidupan dan persekitaran. Rasa rendah diri, hilangnya harga diri dan sentiasa gagal.
- Kepiluan (Depression)
Kadangkala kita berasa sedih, tidak berminat dalam aktiviti-aktiviti biasa, berasa lemah, sukar tidur dan tidak lalu makan, menangis tanpa sebab dan mungkin menyimpan rasa hendak bunuh diri terutama apabila mengalami kegagalan yang teruk atau kehilangan (misalnya kematian orang yang disayangi).
Jika ini berlaku keterlaluan atau muncul tanpa sebab dan memberi kesan terhadap kefungsian harian kita, kita memerlukan bantuan.
- Psikosis
Ini merupakan yang paling teruk. Dalam kes ini, pesakit hilang perhubungan dengan alam nyata dan hidup di dalam alamnya yang tersendiri serta berkelakuan ganjil. Misalnya, mempunyai kepercayaan-kepercayaan yang tidak berasas, mendengar suara-suara yang tidak wujud, bersikap mundur atau bertutur tidak menentu. Biasanya pesakit tidak sedar bahawa dia sakit dan tidak mungkin mencari bantuan secara persendirian.
Apa tindakan yang perlu diambil? Ikuti selajutnya artikel mengenai tekanan perasaan ini akan datang dalam 123mamanet.com
[btn text=”LIKE & SHARE” tcolor=#FFF bcolor=#FF00FF thovercolor=#FFF link=”https://www.facebook.com/harianwanita” target=”_blank”]