Menyusu di tempat awam? Masih ramai yang kurang senang dengan tindakan ibu yang berani menyusu di tempat awam. Sebenarnya tindakan ini memang lumrah bagi ibu-ibu menyusu yang keluar bersiar-siar atau menziarah ke majlis keramaian. Cuma bila ia diviralkan dengan cara yang akak keterlaluan, maka ia kelihatan seolah-olah si ibu sengaja hendak menayangkan ‘aset’ mereka.
Walhal tidak langsung pun timbul niat sebegitu. Bahkan memang tidak pun kerana dalam fikirkan ibu hanya mahu menyusukan bayi mereka. Kepada individu atau kumpulan yang berasa bahawa mereka terganggu, maaf cakap, anda sebenar ‘over react’.
Ikuti tip dan cara menyusukan di tempat awam yang sering diamalkan oleh ibu menyusu. Mamanet yakin anda tidak akan perasan atau sedar pun bahawa ada ibu-ibu sedang menyusukan anak mereka di kerusi rehat di ruang legar. Ikuti panduan yang dibawakan oleh pakar laktasi Puan Zaleha Mustapha.
Persediaan menyusu semasa menghadiri majlis keraian lebih kurang sama dengan menyusu di tempat awam. Apabila berkumpul dan bersama dengan mereka yang tidak menyusu badan, sudah tentu ada isu-isu tertentu seperti saranan top up susu formula, tidak selesa melihat ibu menyusu dan lain-lain.
Antara tip yang boleh diamalkan:
*Khusus untuk ibu yang menyusu secara terus (direct breastfeeding)
1- Kuatkan mindset dan jiwa raga
Kita yakin kita telah membuat pilihan yang terbaik untuk anak kita iaitu menyusukannya dengan susu ibu. Jadi apa jua komen yang tidak membina dari ipar-duai, sahabat handai, kita balas dengan senyuman sahaja. Jika mereka boleh menerima pendapat, bolehlah kita promosikan kelebihan penyusuan susu ibu. Jika tidak, berdiam adalah lebih baik dari bertelagah tentang pendirian masing-masing.
2- Peka dengan karakter anak kita
Sesetengah bayi tiada masalah jika berada di tempat ramai, tetapi sebilangan bayi yang lain tidak selesa dan mudah terganggu apabila menyusu dalam keadaan riuh rendah dan ramai orang. Apabila kita peka dengan karakter anak, mudah untuk kita menyusu di tempat awam.
Saya teringat semasa menyusukan Adnin. Dia ni memang “telinga lintah” macam abangnya juga sejak dari lahir. Bunyi ayam berkokok pun boleh terjaga dari tidur. Kalau menyusu di luar dan ada bunyi, memang cepat dia berhenti menyusu dan mencari punca bunyi tu. Kelam kabutlah saya menutup baju. Satu lagi stail dia, nak menyusu sambil baring. Kalau beraya rumah keluarga terdekat, bolehlah minta masuk bilik, jika di tempat lain, segan juga kecuali dah terpaksa, bila dia dah “mengamuk” hendak tidur. Mujurlah bila dah besar sikit, perangai dia ni berubah, boleh menyusu sambil duduk je.
3- Maklumkan kepada tuan rumah/penganjur
Jika beraya ke rumah terbuka atau menghadiri keramaian dan kita kenal rapat dengan tuan rumah, boleh maklumkan bahawa kita menyusukan anak. Mohon izin untuk guna bilik tetamu atau ruang tertentu jika anak perlu disusukan secara privasi.
4- Cari tempat dan masa yang sesuai
Jika berada di tempat terbuka, cari tempat yang sesuai (sedikit tersorok) untuk menyusukan anak. Kita juga boleh membelakangi orang ramai untuk lebih privasi. Ibu juga harus peka waktu anak mahu menyusu, waktu tidur atau apa-apa ketidakselesaan pada mereka seperti lampin basah, panas, bosan dan lain-lain. Ini akan dapat membantu ibu beraya dengan lebih ceria.
Semasa anak kecil, saya dan suami keluar sekejap sahaja. Kami akan balik sebelum anak meragam. Jika jarak agak jauh dan perlu berada lama, kami akan bawa mainan anak untuk menarik perhatian anak agar tidak meragam.
5- Mohon bantuan suami/ahli keluarga
Minta suami atau ahli keluarga yang lain ‘cover’ semasa menyusukan anak agar ibu tidak terlalu ‘terdedah’. Meskipun anda menyusu di tempat awam, namun posisi anda tetap terlindung.
6- Pakai baju mesra penyusuan dan aksesori yang berkaitan
Baju menyusu sangat membantu ibu semasa keluar beraya. Ibu dapat menyusukan dengan mudah dan dapat menjaga aurat.
7- Susukan anak sebelum keluar
Susukan anak di rumah atau dalam perjalanan atau semasa hampir sampai di rumah yang hendak dikunjungi. Ini bergantung pada anak juga. Adakalanya mereka mahu menyusu pada bila-bila masa, tak kira tempat dan masa 🙂 Itulah kelebihan susu ibu, tidak perlu bancuh, semua telah tersedia, hanya perlu latihan sedikit untuk menyusu dengan sempurna.
8- Biasakan menyusu di tempat awam
Kita akan yakin dengan apa yang selalu kita buat. Jika pertama kali ingin menyusu di tempat terbuka, mungkin kita akan kekok. Kita boleh berlatih di hadapan cermin di rumah dan lihat cara terbaik untuk menyusu tanpa menarik perhatian orang sekeliling. Yang paling penting adalah aurat terjaga dan ibu serta anak rasa selesa.
Kadang-kadang orang sekeliling tak perasan pun ibu sedang menyusukan anak. Ini lebih mudah bila ibu memakai baju menyusu yang mempunyai bukaan khas dan bertudung labuh. Ibu tidak perlu menyelak baju dari bawah atau memakai poncho yang membuat orang tahu ada bayi sedang menyusu.
Menyusu di tempat awam bukan satu kesalahan. Namun ada lelaki yang kurang selesa, malah ada suami yang tidak membenarkan isteri mereka menyusu di tempat awam walaupun aurat terjaga. Itu pilihan mereka. Mungkin mereka jarang membawa isteri dan anak keluar atau bila di luar anak minum melalui botol sahaja. Bukan semua tempat awam ada bilik menyusu. Jika ada pun, kadang-kadang jauh dan penuh. Kasihan jika biarkan bayi menangis semata-mata mahu mencari tempat khas untuk menyusu.
9- Bawa kelengkapan penyusuan
Jika ibu masih belum yakin untuk menyusu secara terus (direct breastfeeding) atau ada halangan lain, ibu boleh membawa susu perahan (EBM) dan menyusukan anak dengan botol. Banyak persediaan dan kelengkapan yang perlu dibuat/dibawa:
a. susu perahan
b. cooler bag
c. ice pack
d. warmer/termos air suam untuk rendam susu perahan
e. pam susu (jika beraya dalam tempoh yang lama, ibu perlu perah susu kerana tidak menyusukan anak secara terus)
Kebaikannya, suami atau ahli keluarga yang lain boleh tolong susukan bayi melalui botol.
Kelemahannya, susu perahan akan berkurangan, perlu cari tempat yang sesuai untuk perah susu, jika tidak perah susu, ibu boleh mengalami bengkak susu.
Semoga perkongsian ini dapat membantu ibu-ibu beraya dengan ceria. Ingatlah, semasa kita menyusu di tempat awam, kita secara tidak langsung mempromosikan penyusuan susu ibu dan didoakan lebih ramai ibu akan menyusukan anak mereka dengan susu ibu.
Dipetik dengan izin dari zaleha-mustapha.blogspot.my
[btn text=”LIKE KAMI DI FACEBOOK” tcolor=#FFF bcolor=#FF00FF thovercolor=#FFF bhovercolor=#0000FF link=”https://www.facebook.com/harianwanita/” target=”_blank”]