PELUH Berlebihan. Memanglah berpeluh itu bagus sebab ia adalah tanda pembuangan racun dari tubuh. Tapi, kalau dah pengeluarannya tahap melampau, lain pula jadinya!
Sudah pasti akan menimbulkan rasa yang tidak selesa. Lebih lagi, jika ia mengeluarkan bau yang ‘tengik’. Aduhai, segannya.
Masalah peluh berlebihan atau dalam istilah perubatannya lebih dikenali sebagai hyperhidrosis. Bagi anda yang mengalami masalah peluh berlebihan, cubalah cara untuk mengatasi dan mengurangkan peluh berlebihan serta mengetahui faktor-faktor penyebab masalah tersebut.
Berikut adalah beberapa cara mengatasi peluh berlebihan:
- Minum Air Masak Secukupnya
Pengambilan air masak yang mencukupi boleh membantu melembabkan badan dan menjadikannya lebih ringan. Air masak cukup penting untuk menjaga suhu tubuh supaya lebih stabil, biarpun ketika melakukan aktiviti berat dan mengeluarkan banyak peluh.
- Jaga Kebersihan Dan Pilih Pakaian Serta Kasut Yang Selesa
Mandilah paling kurang dua kali sehari untuk menghilangkan bakteria yang menyebabkan bau badan. Setelah mandi, pastikan ketiak kering. Kita masih boleh mengatasi masalah peluh dan bau dengan menggunakan sabun antibakteria.
Di samping itu, kenakan pakaian daripada material kapas atau linen yang mampu membuatkan kulit bernafas dan menjaga ketiak kering. Fabrik jenis nilon dan polyester cenderung mengundang rasa panas sehingga menyebabkan tubuh jadi berpeluh.
Sering menukar kasut atau pakailah stoking kerana peluh akan menyebabkan kasut berbau masam.
BACA INI
- 5 Cara Menghilangkan Jerawat Batu Dengan Efektif
- Makanan Yang Sihat Elak Perut Meragam Masa Berpuasa
- Gunakan Deodoran/Anti perspirant
Deodoran membantu menghapuskan bau, manakala anti perspirant mengandungi bahan yang dikatakan mampu menghentikan peluh. Anti perspirant yang menggunakan aluminium klorida dikatakan betul-betul dapat mencegah pengeluaran peluh yang banyak.
- Yoghurt
Ternyata kandungan kalsium yang terkandung pada yoghurt boleh mengurangkan pengeluaran peluh berlebihan. Jika kurang menyukainya, kita boleh mendapatkan kalsium daripada brokoli ataupun kacang almond.
- Daun Pudina
Daun pudina dikatakan boleh membantu meredakan stres dan menjaga suhu tubuh dari pengaruhu panas. Jika suka, kita boleh juga mencampurkan daun pudina ke dalam jus sayur ataupun jus buah-buahan kegemaran kita.
- Hindari Makanan Pedas
Makanan pedas seperti cili dan kari boleh menimbulkan peluh berlebihan, terutama pada muka dan kepala.Sebagai penganti, kita boleh menggantikan dengan rempah ratus atau herba yang boleh menambahkan rasa pada makanan serta mengurangkan peluh.
Antara punca yang menyebabkan peluh berlebihan:
* Makanan Atau Minuman Tertentu
Makanan pedas, minuman panas atau minuman yang mengandungi kafein dan alkohol boleh membuatkan pengeluaran peluh berlebihan.
* Demam
Ketika suhu badan naik dan akan kembali ke normal, kita biasanya akan mengalami peluh berlebihan.
* Perubahan Hormon
Perubahan hormon pada wanita sering terjadi pada masa menstruasi, kehamilan dan menopaus. Wanita yang menopaus biasanya mengalami hot flashes, di mana terjadinya peningkatan suhu badan yang disertai dengan peluh berlebihan.
Ada juga wanita yang mengalami tahap estrogen yang turun begitu rendah menjelang menstruasi boleh menyebabkan seseorang berasa panas. Meskipun perkara tersebut kerap terjadi pada pra menopaus, tetapi boleh juga terjadi pada wanita yang kadar hormonnya berubah-ubah
* Obesiti
Orang gemuk biasanya akan mengeluarkan lebih banyak peluh.Ini adalah kerana tubuh perlu membawa beban yang lebih berat. Jadi, jika anda rasa berat badan anda berlebihan, ada baiknya anda berdiet serta mengawal jadual pemakanan untuk mencapai berat badan ideal.