Nestlé Malaysia melancarkan kempen MILO Tenaga Untuk Kebaikan baru-baru ini di SK Durian Burung, Kuala Terengganu. Kempen ini merupakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan pengalaman sekolah dan pembelajaran kanak-kanak.
Melalui ekosistem Projek CAREton, sisa kotak minuman terpakai dikumpul dan dikitar semula sebagai perabot sekolah dan peralatan sukan yang tahan lama dan mesra alam.
Pelancaran Kempen Mil0
Sebagai permulaan, inisiatif ini akan dilaksanakan di empat buah sekolah di Pantai Timur dan seterusnya diperluaskan secara berperingkat ke seluruh Malaysia.
Nestlé juga akan menyumbang peralatan komputer yang turut membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran di sekolah-sekolah yang terlibat.
Pelancaran kempen MILO Tenaga Untuk Kebaikan merupakan kesinambungan daripada kerjasama jangka panjang Projek CAREton bersama Tetra Pak Malaysia.
Projek ini bertujuan untuk mengumpul semula kotak minuman terpakai dan mengitar semula menjadi bahan PolyAl yang dapat digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk bahan pembinaan ringan dan perabot mesra alam.
Sejak tahun 2012, lebih daripada 5,400 tan kotak minuman terpakai (setara dengan lebih daripada 420 juta kotak minuman terpakai) telah dikumpul dari lebih 1,000 pusat pengumpulan di seluruh negara, antaranya termasuklah 600 buah sekolah dan dimasukkan ke dalam sistem kitar semula syarikat.
Melalui inisiatif ini, murid dan rakyat Malaysia dapat menghayati hasil dari usaha kitar semula yang berterusan. Di sekolah, mereka akan memperolehi meja, kerusi, dan peralatan sukan yang diperbuat daripada bahan kitar semula berasaskan PolyAl bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat serta menyokong perkembangan murid.
Pengunaan tong kitar semula CAREton
Rashidi bin Abdullah @ Muhamad, Guru Besar SK Durian Burung menyatakan, “Sebagai pendidik, kami bermatlamat untuk mewujudkan persekitaran di mana murid-murid dapat berkembang secara fizikal dan mental.
Kami sentiasa mencari cara yang mampan untuk mengekalkan dan meningkatkan kemudahan sekolah. Dengan menggunakan bahan polyAl, kami dapat memanjangkan jangka hayat infrastruktur dan kemudahan sukan kami untuk memastikan ketahanannya”.
“Dengan penambahan tong kitar semula CAREton yang khusus di sekolah kami, murid-murid juga berpeluang untuk membawa kotak minuman MILO terpakai mereka dari rumah dan memupuk tabiat kitar semula harian.
Mereka dapat mengalami sendiri bagaimana usaha mereka menyumbang kepada perubahan positif dalam persekitaran sekolah. Projek ini bukan sahaja mengajarkan kepentingan kelestarian, malah apa yang dipelajari akan menjadi kemahiran sepanjang hayat dan mendorong tindakan individu yang dapat membawa kesan penambahbaikan yang berkekalan.”
Persekitaran Pembelajaran Yang Positif & Mampan
Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia Berhad, mengungkapkan rasa puas hatinya dengan membawa MILO Tenaga Untuk Kebaikan ke Terengganu. Menurut beliau, MILO Tenaga Untuk Kebaikan mencerminkan komitmen mereka terhadap kelestarian dan sokongan kepada komuniti.
“Selama 12 tahun, kami telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dan perubahan positif melalui Projek CAREton, berkat usaha bersama rakan kongsi kami, Tetra Pak dan ahli komuniti.
Dengan pelancaran kempen MILO Tenaga Untuk Kebaikan, kami dengan bangganya bergabung tenaga dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan AFN Sports untuk memberikan sokongan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan.”
Aranols menekankan lagi objektif kempen ini adalah untuk mencipta persekitaran pembelajaran yang positif dan mampan bagi murid-murid serta memastikan mereka mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang maju.
Tenaga Yang Berkhasiat
Beliau juga menegaskan kepentingan untuk menunjukkan bagaimana usaha murni ini secara langsung dapat membawa manfaat kepada warga sekolah dan komuniti.
“Selain daripada fokus MILO dalam menyediakan tenaga yang berkhasiat dan menggalakkan amalan sukan, kami percaya bahawa pemupukan rasa tanggungjawab dan kepedulian terhadap alam sekitar adalah satu bentuk pemberdayaan bagi generasi muda.
Melalui inisiatif ini, mereka dapat melibatkan diri secara aktif serta menyumbang tenaga bersama dalam membina masa depan yang lebih mampan dan sejahtera untuk semua. Maka, ia bermula dengan menangani kesan buruk pencemaran sisa terhadap kesihatan ekosistem kita yang berharga,” tambahnya.
Kempen MILO Tenaga Untuk Kebaikan menunjukkan bagaimana keprihatinan terhadap tanggungjawab dapat menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang kelestarian. Terinspirasi oleh impak nyata daripada usaha mereka seperti persekitaran yang lebih bersih dan penggunaan bahan mesra alam, murid-murid terus terlibat secara aktif.
Ini menghasilkan kesan yang meluas dan memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar, kerana keterlibatan mereka menyebarkan kesedaran dan menggalakkan orang lain untuk turut serta dalam usaha ini.
Berikutan pelancaran program perintis di Terengganu hari ini, Nestlé Malaysia berhasrat untuk memperluaskan program ini dengan melibatkan lebih banyak sekolah sepanjang tahun 2025 dan seterusnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Projek CAREton dan lokasi pengumpulan, sila layari https://www.milo.com.my/ms/kelestarian/projek-kitar-semula-careton-milo-aktiviti