LAGU tema filem Mawar Putih dinyanyikan oleh Tiesha Syed Latiff Shah, gadis kelahiran Singapura. telah diadakan. Tiesha yang ditemui di majlis pelancaran album runut bunyi filem Mawar Putih, filem terbaharu arahan Seniwati Negara, Dato’ Rosnani Jamil merupakan anak bongsu pelakon Herdawatie.
Dua buah lagu yang terkandung di dalam album filem Mawar Putih adalah ‘Kau Yang Ku Panggil Cinta’ dan ‘Kamar Rindu’. Kedua duanya digubah indah oleh pemuzik hebat tanahair, Saudara S. Atan. Lirik bagi lagu ‘Kamar Rindu’ merupakan hasil nukilan Siso, manakala bagi lagu ‘Kau Yang Ku Panggil Cinta’, liriknya telah ditulis sendiri oleh Rosnani.
“Tiesha mengharapkan agar para peminat seni muzik di Malaysia akan suka dengan lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini, sekaligus memberikan sokongan pada buah tangan terakhir Mak Tok,” katanya sambil tersenyum manis. Tambahnya lagi, “Tiesha juga berharap, ini akan menjadi titik mula untuk Tiesha mencipta nama di dalam bidang nyanyian.”
Rakaman lagu untuk filem Mawar Putih hanya 2 hari
Berkongsi pengalaman sewaktu merakamkan lagu-lagu ini, Tiesha mengakui pada mulanya dia berasa berdebar sebelum memasuki studio rakaman. Berkat galakan dan bimbingan komposer tersohor tersebut, Tiesha berjaya menyudahkan rakaman hanya dalam tempoh dua hari sahaja.
“Tidak sukar sebenarnya untuk Tiesha cari mood waktu hendak merakamkan lagu ‘Kau Yang Ku Panggil Cinta’. Sebabnya Mak Tok sudah bersedia dengan filemnya untuk Tiesha tonton, biarpun filem itu belum menjalani proses pasca penerbitan. Tiesha disuruh tonton filem yang belum dimasukkan audio itu. Namun, Tiesha faham apa yang Mak Tok cuba sampaikan menerusi filem tersebut. Sebak juga Tiesha dibuatnya dan ia adalah bonus untuk Tiesha kerana dapat menjiwai lagu tersebut dengan lebih mudah,” jelas Tiesha lagi.
S.Atan turut berkongsi pengalamannya bersama Tiesha di dalam majlis tersebut. Menurutnya, kedua-dua buah lagu itu dicipta khusus untuk filem Mawar Putih. Setelah dimaklumkan bahawa lagu tersebut akan digunakan sebagai lagu tema sebuah filem, komposer terkenal ini segera mengilhamkan dua buah lagu yang mempunyai melodi unik dan tidak jemu didengar. Menurut S.Atan lagi, dia mahu pendengar terus terpikat dengan lagu tersebut, biarpun baru pertama kali mendengarnya.
Dalam majlis tersebut, para hadirin turut berpeluang mendengar alunan suara Tiesha secara ‘live’ . Majlis telah turut diserikan dengan kehadiran presiden dan ahli Persatuan Veteran RTM, Pertubuhan Wanita Sabah, dramatis Aznah Hamid yang ditemani anaknya Shera Iskandar, Mas Omar dan isterinya Sawiah, pelakon cantik Julia Ziegler dan kemunculan istimewa heroin Filem Mawar Putih sendiri, Reen Rahim.
SAKSIKAN FILEM MAWAR PUTIH YANG BAKAL DITAYANGKAN DI PAWAGAM BERHAMPIRAN ANDA BERMULA 18 OGOS 2016.
Ikuti kami di facebook dengan klik di sini dan like page mamanet@harianwanita