Seawal jam 8.00 pagi, kami meninggalkan Kuala Sungai Baru menuju ke bandar Melaka bumi bersejarah. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menikmati sarapan pagi di warung roti canai popular mutakhir ini. Seterusnya kami akan berkunjung ke beberapa tempat menarik di sekitar bandar Melaka.
Sabtu dan Ahad merupakan hari paling sibuk di bandar Melaka. Jadi, bersedialah menempuh kesesakan kerana sama seperti orang lain, kita semua menuju ke sebuah syurga liburan kegemaran ramai. Itulah keistimewaan Melaka. Rasa bangga jadi anak jati Melaka.
Roti Canai Kayu Arang
Umumnya juadah yang dibakar dengan kayu arang lebih sedap berbanding yang dimasak dengan cara lain. Di mana-mana saja di dunia ini, pembuat roti dan pizza pastinya berbangga jika memiliki dapur arang kerana roti mereka dianggap lebih original dan sedap.
Itulah antara rahsia mengapa Roti Canai Kayu Arang Melaka ini menjadi viral hingga setiap saat tiada kerusi kosong. Percaya tak? Kalau tidak percaya datanglah ke sini dan saksikan sendiri bagaimana anda perlu menunggu untuk duduk. Kami sempat jadi pemerhati buat seketika.
Melihat begitu ramai orang di dalam warung yang terletak di Kampung Balai Panjang ini, anda mungkin rasa cuak hendak merapatinya tetapi usah risau! Servisnya pantas dan anda tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan tempat duduk dan makanan. Kepantasan pengusaha dan pekerjanya melayani pelanggan juga amat mengkagumkan.
Beroperasi seawal 7.00 pagi hingga 12 .00 tengah hari, warung ini menyediakan menu yang cukup menarik buat para pengunjung. Ada lebih 10 menu termasuk lima jenis roti canai, nasi lemak, lontong dan pelbagai jenis kuih-muih yang sedap belaka.
Roti canai paling ‘hot’ ialah Nanchos iaitu roti canai yang ditabur dengan keju, capcicum, kobis hijau dan bawang ala pizza. Inilah roti canai paling laris. Harganya RM6 sekeping.
Kepada yang sukakan roti canai kosong, roti telur atau roti tampal goyang, nikmatnya pasti tidak terkata . Teksturnya garing dan rangup bila dikunyah. Sekali rasa pasti nak mengulang lagi.
Lokasi: Roti Canai Kayu Arang, Balai Panjang, Bachang, Melaka
Facebook: Roti Canai Kayu Arang
The Shore @Malacca River
Destinasi syurga liburan kedua kami ialah ke pusat beli belah terbaharu di Melaka iaitu The Shore yang terletak di pinggir Sungai Melaka. Pertama kali melangkah masuk, kami disambut mesra oleh Pengurus Jualan & Pemasaran, Agnes Wong.
Tarikan pertama yang kami kunjungi ialah The Shore Oceanarium, sebuah akuarium yang mempamerkan pelbagai spesis hidupan laut. Anda boleh bermain dengan ikan yu comel dan jinak di kolam terbuka.
Di sini juga ada Magic Aquarium yang menyediakan ruang untuk anda memasukkan tangan ke dalam akuarium. Anda tidak perlu bimbang kalau air melimpah keluar. Itu tidak akan berlaku. Masukkan saja tangan anda dan biarkan si sisik itu menggigit-gigit manja tangan anda.
Memang bagaikan mimpi jadi kenyataan. Getusan nakal hendak memasukkan tangan ke dalam akuarium dan bermain dengan ikan bukan lagi mustahil. Maka sebab itu ia dinamakan Magic Aquarium. Memang menakjubkan!
Bukan itu sahaja. Ada macam-macam lagi aktiviti menarik di sini. Ada Interactive Zone, Ocean Theatre, Ocean Journey, Jungle Quest, 7 in 1 Cinema 3D Plus, River Story, Trick Eye Gallery dan tentulah kedai Souvenir bagi anda membeli-belah sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.
Pendek kata akuarium ini banyak tarikan yang tersendiri. Minda anda pasti akan tercabar bila berada di sini. Bawalah anak-anak untuk menikmati kepelbagaian aktiviti dan info.
Tiket RM35 Dewasa I RM25 Kanak-kanak
Laman web: Oceanarium Melaka
The Shore Sky Tower
Memang bertuah dapat berada di bangunan tertinggi di Melaka hari ini. Pengalaman pertama saya dan team menaiki Sky Tower ini. Saya tidak gayat tapi tatkala berada di tingkat 43 dengan ruang yang terbuka, membuat hati saya sedikit berdebar dalam keterujaan.
Sebaik menjejakkan kaki ke tingkat paling atas, angin sedikit kencang menyambut kami. Langkah dipacu untuk meneroka lantai tertinggi itu. Matahari tegak di atas kepala, tidak diendahkan. Paling penting, kami ingin menikmati momen istimewa ini sepuas mungkin. Kami sedar bukan semua orang bertuah untuk berada di sini.
Panorama dari atas memang menakjubkan. Saya melihat bumbung bangunan di bawah begitu kerdil. Begitu juga sungai Melaka dan Selat Melaka. Wah, Melaka kini bagaikan berada di bawah taklukan kami.
Jika sebelum ini kami perlu memanjat ratusan anak tangga di rumah api Tanjung Tuan untuk melihat pemandangan saujana mata memandang, kini kami boleh melihat pemandangan bandar Melaka dari menara pula. Tekan saja butang lif, seketika sahaja kami sudah sampai ke puncak. Bertuah sekali lagi kerana dilahirkan sebagai generasi Melaka Maju 2010. Benarlah teknologi itu salah satu nikmat dunia moden.
Di menara tinjau, terdapat sebuah anjung dengan lantai lutsinar untuk pengunjung melihat terus ke bawah dan merakamkan kenangan indah itu melalui skrin kamera yang telah tersedia.
Selain menara tinjau, terdapat sebuah restoran di tingkat 42 dikenali sebagai The Sky Deli. Sambil menjamu selera bolehlah anda menikmati panorama indah sungai dan Selat Melaka.
Tiket RM25 Dewasa I RM18 Kanak-kanak
Laman web: Sky Tower The Shore Melaka
The Shore 3D Interactive Park
Seterusnya kami meneruskan pengembaraan di 3D Interactive Park. Di sini, para pengunjung diuji untuk mengambil gambar menarik bersama pelbagai mural dan arca 3D yang disediakan. Anda boleh memandu di cerun yang curam atau minum petang bersama Monalisa.
Bahkan anda boleh jadi ‘badang’ dengan mengangkat sebuah kereta yang terbalik atau terbang bersama naga sakti.
Semakin kreatif anda semakin teruja dengan gambar yang dihasilkan. Di sini juga terdapat sebuah rumah hantu. Anda boleh rasakan sendiri bagaimana tinggal di rumah yang menyeramkan.
Jadi bila anda datang ke Melaka, jangan lupa untuk singgah di 3D Interactive Park ini yang terletak di aras 2, The Shore.
Tiket RM30 Dewasa I RM20 Kanak-kanak
Laman web: 3DPark The Shore Melaka
Toy Museum
Terletak di aras 2, Toy Museum merupakan tarikan yang sangat menarik untuk para peminat patung mainan. Ralit melihat 10 ribu jenis patung permainan yang dipamerkan.
Di sini terdapat pelbagai segmen pameran anak patung seperti Super Hero Toys, Dyno World Toys, Brick Toys, Vintage Miniature Vehicles, Cartoon Character Toys, Robots World dan Element Corps.
Bukan sahaja yang bersaiz kecil tetapi ada juga yang bersaiz besar seperti saiz sebenar kereta Batman dan replika robot Supreme Prime yang diperbuat daripada bahan terbuang.
Replika Hulk juga tidak kurang hebat. Kelihatannya dia tidak sabar hendak berinteraksi dengan anda. Usah bimbang, Hulk ini tidak akan melawan anda. Buatlah sesuka hati anda.
Tiket RM30 Dewasa I RM20 Kanak-kanak
Laman web: Toy Museum The Shore Melaka
Pakej Combo Sky Tower, 3D Interactive Park dan Toy Museum bernilai RM85 Dewasa dan RM58 Kanak-kanak. Dengan pakej ini anda layak mendapat baucar makan di Sky Deli berharga RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.
Lokasi: The Shore @ Sungai Melaka, Jalan Persisiran Bunga Raya, Melaka.
Big Nyonya Di Bumi Bersejarah
Usai berseronok di The Shore, perut kami mula berkeroncong. Mujur Big Nyonya terletak tidak jauh dari situ. Apa dia Big Nyonya ini? Siapa masih ingat tentang sitcom Baba Nyonya suatu masa lalu? Salah seorang pelakonnya ialah Datuk Kenny Chan atau lebih suka dikenali dengan panggilan Bibik (sempena watak yang dilakonkannya).
Big Nyonya merupakan sebuah restoran yang menyediakan makanan tradisi baba nyonya yang terletak di Jalan Melaka Raya. Restoran ini juga merupakan lokasi yang patut anda singgah. Di sini makanannya halal jadi anda tidak perlu was-was. Lebih istimewa kehadiran kami telah disambut sendiri oleh Bibik yang begitu mesra dan sentiasa tersenyum.
Kami telah dihidangkan dengan udang masak lemak nanas, ikan geram asam (asam pedas), kangkung, gulai ayam dengan buah genuak (sejenis asam dari Indonesia), ‘chicken roll’, telur dadar cencaluk, kangkung goreng belacan, dan Air Batu Campur (ABC).
Semua menu ini adalah antara yang terbaik yang ada di restoran ini. Kami semua jatuh cinta pada udang masak lemak nanas yang sangat enak. Cukup segala rasa lemak masin, pedas dan manis. Begitu juga dengan ABCnya memang terbaik!
Kalau anda sukakan masakan Cina peranakan inilah tempat yang patut anda singgah untuk menjamu selera sama ada waktu tengah hari atau pun malam. Anda pasti akan berpuas hati.
Lokasi: Big Nyonya, Melaka Raya, Melaka
Facebook: KennysDelight
Muzium Islam Melaka
Usai makan tengah hari, kami singgah pula ke Muzium Islam Melaka yang terletak di Kota Melaka. Muzium ini ditubuhkan sebagai kesinambungan sejarah Melaka sebagai Pusat Penyebaran Islam di Nusantara suatu ketika dulu dan perkembangan Islam di Malaysia kini.
Bangunan Muzium Islam Melaka ini dahulunya adalah bangunan Pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jalan Kota, Melaka. Terdapat lapan ruang pameran utama dengan tema yang tersendiri. Para pengunjung pasti teruja dengan pelbagai pameran dan maklumat yang disediakan.
Antara koleksi yang dipamerkan adalah replika Al-Quran terawal, sejarah masjid, replika pedang Rasulullah S.A.W.
Tanpa muzium seumpama ini, kita pasti tidak akan faham kenapa Melaka ini disebut sebagai bumi bersejarah. Oleh itu, anda perlu memasukkan muzium sebagai salah satu daripada destinasi lawatan anda.
Lokasi: Muzium Islam Melaka, Jalan Kota Melaka.
Facebook.com: MelakaMuseum
Melaka Tropical Fruit Farm
Dari Kota Melaka, kami kembali ke daerah Alor Gajah kerana destinasi kami seterusnya pada petang itu ialah Melaka Tropical Fruit Farm (MTFF) yang terletak di Sungai Udang. Nama asal tempat ini ialah Jabatan Pertanian Sungai Udang sebelum dijenamakan semula dengan nama MTFF.
Dari bandar Melaka, kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke sini melalui Lebuhraya AMJ. Untuk makluman, Melaka ada dua Lebuhraya iaitu AMJ dan SPA. Nama saja lebuh raya tapi bebas tol ya. Jadi, jangan risau. Lalulah sesuka hati, berliburlah tanpa henti. Hanya di Melaka bumi bersejarah!
Dengan keluasan sekitar 173 ekar, MTFF ini berkonsep “farm stay” agro pelancongan dengan menjadikan elemen-elemen pertanian seperti landskap, kolam pancing, taman herba, kebun sayur, dusun buah-buahan dan ladang ternakan sebagai produk pelancongan.
Ia beroperasi setiap hari dari jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang. Kita boleh berjalan, menyewa basikal atau pun menaiki bas/trem yang disediakan.
MTFF memang sentiasa penuh dengan aktiviti untuk orang ramai khususnya bila musim buah tiba. Kalaulah musim durian, pasti saya orang pertama yang menyerbu ke sini. Memandangkan kunjungan kami ini di luar musim buah, maka tidaklah dapat dikongsikan momen yang lebih menyeronokkan seperti gambar koleksi MTFF di bawah ini.
Lawatan pertama kami ialah ke tempat pengumpulan madu kelulut. Tidak seperti lebah, kelulut ini tidak berbisa, namun madunya bernilai tinggi. Pada saya, lebih mudah menternak kelulut berbanding lebah kerana kita tidak perlu memakai pakaian khas untuk mengutip madu. Sangat ringkas.
Seterusnya kami singgah pula di pusat ternakan puyuh telur. Saiz puyuh memang agak besar berbanding puyuh liar. Menariknya puyuh telur ini, ia bertelur setiap hari sebiji. Bertuahlah kepada penternak puyuh. Pendapatannya tidak pernah berhenti. Wah! Tiba-tiba timbul perasaan seperti hendak menternak puyuh juga (berangan saja).
Seterusnya kami dibawa meninjau fasiliti penginapan yang disediakan oleh MTFF. Ada 9 chalet yang boleh disewa secara individu mahu pun berkumpulan. Asrama dan tapak khemah turut disediakan.
Antara fasiliti lain yang disediakan ialah ruang dan bilik mesyuarat, dewan makan, dewan serbaguna, surau, fasiliti rekreasi dan peralatan team building.
Kembali kepada subjek utama MTFF, di sini terdapat segala jenis tanaman dan tumbuhan tropika. Daripada kebun sayur, herba hinggalah kepada dusun. Sebut apa saja, pokok kayu manis, pokok bidara, pokok mentega, pokok melaka, semuanya ada.
Bahkan ada edisi terhad jus buah Melaka yang hanya terdapat di MTFF. Rasanya seperti kedondong tetapi sedikit kelat. Khasiatnya pula terlalu banyak. Anda tahukan bagaimana bumi bersejarah ini mendapat nama? Tentulah nama itu datang daripada pokok Melaka yang sebenarnya mempunyai rahsia penawar yang hebat.
Kami turut berpeluang bermanja dengan rusa, burung unta dan kuda padi. Mereka memang comel. Terasa mahu menghabiskan masa sehari suntuk di sini, namun apakan daya. Lawatan kami sangat singkat. Pastinya saya akan ke sini lagi nanti. Insya-Allah.
Akhir kata, jangan lupa bila musim buah tiba ya. Anda akan bermandikan durian, duku, manggis, rambai, pulasan, langsat, dokong rambutan dan lain-lain. Nantikan Durian Fest yang bakal diadakan oleh MTPP dan Tourism Melaka kelak.
Saya pun tidak sabar hendak menyertai Durian Fest ini tahun depan. Nak makan durian terbaik puas-puas. Betapa bertuahnya mereka yang sudah ke sini sebelum ini. Ah, buat kesekian kalinya saya jatuh cinta lagi pada Melaka bumi bersejarah ini.
Lokasi: Melaka Tropikal Fruit Farm (Pusat Latihan Pertanian Sungai Udang), Sungai Udang, Melaka
Facebook: Farm Stay MTFF
Selesai lawatan ke MTFF, kami mudik pula ke Homestay Kg Ayer Limau, Masjid Tanah. Ikuti kisah keunikan homestay ini bersama beberapa lagi tempat tarikan dalam siri terakhir Travelogue Malaysia.
Colours of Lives Travelogue Malaysia dikendalikan oleh Borakkita.com dengan sokongan Tourism Malaysia. Manakala 123mamanet.com sebagai rakan media. Terima kasih juga kepada Tourisme Malaysia Melaka.
Terima kasih kepada para penaja Colours of Lives Travelogue Malaysia – Melaka.
Touch ‘n Go Malaysia, Plus Highway, Seremban – Melaka, PLUS Malaysia, Perodua, 888 Tea & Coffee, Marini Naturale Magic, Jabatan Laut Malaysia, Majlis Perbandaran Alor Gajah , Majlis Perbandaran Melaka, Tapai Pulut Sarimah, PNK Resort Melaka Barat, Cucur Udang Alor Gajah, Baju Melayu FZ by Ayana, Big Bibik (Baba & Nyonya), Coconut Shake Klebang, Homestay Kampung Ayer Limau, The Shore Oceanarium Melaka, The Shore Sky Tower Melaka, Perbadanan Muzium Melaka – Official, Melaka Tropical FRUIT FARM, Kuih Keria Haji Jalil Limbongan, Mini Malaysia and ASEAN Cultural Park, Turtle Sanctuary Conservation Center, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Rumah Tradisional Melaka Perigi Hang Tuah
BACA : MELAKA DESTINASI SULUNG SIRI TRAVELOGUE MALAYSIA