Bernikah, bukan sekadar melafazkan akad dan terus saling mencintai. Suami Isteri, masing-masing mempunyai peranan dalam menjayakan visi dan misi rumah tangga, sekali gus membentuk keluarga yang sakinah, rahmah dan mawaddah.
Membina keserasian suami isteri
Peranan utama yang perlu dimainkan oleh kedua belah pasangan adalah membina keserasian. Dalam sebuah keluarga, suami Isteri, juga sebagai ibu dan ayah, bersama meletakkan cita-cita ingin mendidik anak dan membangun keluarga bahagia.
Cita-cita ini memerlukan keserasian yang jitu antara suami dan isteri dalam meletakkan visi yang sama dalam kehidupan mereka. Keserasian perlu dibina dan dipupuk sejak hari pertama perkahwinan juga perlu sentiasa diperbaiki.
Hal ini kerana, setiap orang akan berubah, suami kita akan berubah, isteri juga akan berubah, jadi keserasian antara suami Isteri pun akan sentiasa berubah dan ditingkatkan dalam proses membangunkan keluarga.
Perkahwinan adalah satu projek yang besar juga merupakan perjalanan yang panjang. Suami isteri perlu mempunyai peralatan yang betul supaya cabaran yang dihadapi dapat dilalui bersama dengan kesukaran yang minimum.
Peralatan asas yang perlu dikuasai dalam membina keserasian adalah kemahiran komunikasi dan kemahiran kemanusiaan.
-
Kemahiran Komunikasi Suami isteri
Komunikasi, melalui percakapan, tulisan dan bahasa badan sangat penting dikuasai oleh si isteri dan suami. Wujudkan medium bagi suami dan isteri berbincang mengenai isu-isu besar keluarga.
Dengan zaman era serba canggih, banyak alternatif boleh diwujudkan dalam mencapai tujuan komunikasi dalam membina keserasian, terutama pasangan yang sibuk seharian bekerja juga kekurangan masa bersama memandangkan masa di rumah perlu diluangkan bersama anak-anak.
Jika medium whatsapp personal kepada suami terlalu umum, mungkin suami isteri boleh memilih medium lain seperti viber.
Bagi isteri yang lebih selesa menghantar ‘surat cinta’ ataupun isi hati mereka melalui emel kepada suami juga suatu medium yang baik dalam membentuk keserasian. Kadang kala, tulisan lebih mudah difahami dan dibaca pada emosi yang lebih tenang berbanding komunikasi verbal yang mungkin dilontarkan bersama emosi marah atau kecil hati.
- Kemahiran kemanusiaan
Kemahiran kemanusiaan turut disebut sebagai kemahiran insaniah, people skills, soft skills dan emotional intelligence. Kesemuanya membawa maksud yang serupa iaitu kebolehan seseorang menguasai kemahiran dalam membina hubungan dengan diri sendiri dan membina hubungan dengan persekitaran, seperti hubungan suami isteri.
Antara elemen kemahiran insaniah yang perlu ada pada seorang suami dan isteri adalah seperti berikut:
- Penampilan diri
- Kebolehan mengawal emosi dan menguruskan tekanan
- Kebolehan menangani dan menyelesaikan masalah
- Kerja berpasukan sebagai pasangan berkeluarga
- Kemahiran saling memotivasikan
- Kebijaksanaan menyesuaikan diri mengikut keadaan semasa
- Kebijaksanaan dalam membuat keputusan
Kemahiran kemanusian ini perlu dipelajari dan diperbaiki oleh setiap pasangan dalam menghargai hubungan mereka sebagai suami isteri juga untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
Oleh: Norul Asyiqin Ismai
[btn text=”LIKE & SHARE MAMANET” tcolor=#FFF bcolor=#FF00FF thovercolor=#FFF link=”https://www.facebook.com/harianwanita” target=”_blank”]