Hari ini merupakan hari ketiga, Colours of Lives Travelogue Malaysia berada di Johor. Seperti yang telah dijadualkan, hari ini kami akan dibawa ke tempat agro pelancongan menarik dan unik di sekitar Kluang.
Kluang memang terkenal dengan bumi hijaunya yang sesuai untuk pertanian atau kini sering disebut sebagai destinasi agro pelancongan (agro tourism).
Sarapan Enak Mee Bandung Abu Bakar Hanipah
Ternyata Muar bukan sahaja destinasi percutian yang menyeronokkan, kaya dengan sejarah, warisan dan budaya. Memang terdapat banyak makanan tradisional dan enak di Muar. Sebelum ke Kluang, kami singgah dahulu di restoran Mee Bandung Abu Bakar Hanipah yang menjadi destinasi pertama kami menjamu selera pagi ini.
Bagi yang suka makan mee bandung, anda wajib singgah ke sini. Sudahlah murah harganya, RM5 semangkuk, kuahnya pekat dan rencahnya banyak. Ada telur, daging, sayur dan juga udang kecil-kecil.
Selain mi bandung, terdapat juga satay yang tidak kurang hebat kesedapannya. Rugi rasanya kalau datang ke Muar, tak singgah merasai keenakan Mee Bandung Abu Bakar Hanipah dan juga satay yang menjadi hidangan sarapan pagi orang Muar ini.
Untuk memudahkan para peminat mi bandung, En. Abu Bakar telah menyediakan pes mi bandung segera yang boleh dijadikan buah tangan atau disediakan sendiri di rumah.
Alamat: 69-A, Jalan Abdullah, Pekan Muar, 84000 Muar, Johor.
Beroperasi: 6 pagi – 6 petang setiap hari, kecuali hari Jumaat (tutup).
Facebook: Mee Bandung Abu Bakar Hanipah
Nota Editor: Ejaan ‘mee’ mengikut Dewan Bahasa & Pustaka sebenarnya ialah ‘mi’.
Zenxin Organik Park – Ladang Organik Pertama Terbuka Di Malaysia
Nampaknya konsep agro pelancongan yang diterapkan di negeri Johor ini semakin mendapat perhatian pelancong tempatan dan juga luar negara.
Zenxin Organic Park adalah tempat sangat menarik untuk dikunjungi. Mengutip pengalaman di ladang yang mengabungkan tujuan pendidikan dan rekreasi adalah sesuatu yang cukup bermakna.
Kita boleh menghayati sendiri kehidupan sebenar dengan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh pihak Zenxin Organic Park ini.
Ladang seluar 100 hektar ini yang menggunakan kaedah organik tanpa penggunaan baja kimia dan racun perosak ini menempatkan pelbagai tumbuhan herba, sayur-sayuran dan pokok buah-buahan seperti buah naga (dragon fruit).
Selain itu, terdapat juga nurseri, rumah hijau atau green house, kolam ikan, kawasan haiwan kesayangan seperti ayam, itik dan arnab.
Zenxin Organic Park sangat sesuai dijadikan sebagai lokasi percutian keluarga, sambil bercuti anak-anak boleh belajar. Aktiviti yang disediakan juga banyak. Jika gemarkan aktiviti berbasikal, anda boleh menyewa basikal yang disedaikan untuk melawat sekitar taman organik ini.
Di samping berbasikal dan berjalan kaki sendiri untuk meneroka taman ini, anda juga boleh mendapatkan perkhidmatan pemandu pelancong dengan jadual lawatan yang telah ditetapkan.
Zenxin Organic dibuka pada setiap hari, bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 6.30 petang. Bayaran masuk dan pembelian tiket boleh dibuat di kaunter utama, mengikut pakej-pakej yang telah disediakan.
Alamat: 47A & 47B, Batu 9, Jalan Batu Pahat, Kluang, 86000 Kluang, Johor
Laman web: Zenxin.com.my
Facebook: Zenxin Organic Farm
UK Farm Ladang Kambing Terbesar Di Malaysia
Selepas menghabiskan sesi lawatan di Zenxin Organic Park, kami terus ke UK Farm yang juga menjadi daya tarikan argo pelancongan.
UK Farm merupakan sebuah ladang kambing yang terbesar di Malaysia, berada di bawah Projek Pertanian Moden Kluang dan dalam naungan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia.
Di sini kita dapat mengenali budaya penternakan di Malaysia dengan keluasan tanah 100 ekar dan 4000 ekor kambing itu. Pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di UK Farm, bukan sekadar sesi melihat kambing sahaja.
Antara aktiviti menarik adalah melawat ladang kambing, melihat cara pemprosesan susu kambing, melawat ladang itik dan taman burung unta serta berkunjung ke perkampungan orang Asli (suku Jakun) dan masuk ke ladang buah Markisa.
Sewaktu melawat ladang kambing, kita boleh pegang dan memberikan susu kepada anak kambing tersebut.
Jika penat untuk berjalan kaki, perkhidmatan bas atau trem bersama pemandu pelancong turut disediakan.
Di samping itu, terdapat banyak kemudahan yang ditawarkan. Apatah lagi jika kita ingin bermalam atau menginap di situ. Antaranya restoran, bilik seminar, chalet, dorm, tapak perkhemahan, pentas terbuka, kedai serbaneka dan lain lain.
Alamat: Projek Pertanian Moden Kluang,, KM13 Jalan Batu Pahat, Kluang, 8, 86000 Kluang, Johor
Laman web: ukrafm.com.my
Penginapan Selesa Di Prime City Hotel Kluang
Prime City Hotel telah dibina pada tahun 1996 dan tak sukar untuk mengesan lokasinya, memandangkan hotel ini adalah antara bangunan yang tertinggi di Bandar Kluang.
Biarpun sebuah hotel lama, namun kemudahan lengkap dan kualiti perhotelan yang baik menjadikan Prime City Hotel masih mendapat sambutan ramai sehingga ke hari ini.
Prime City Hotel mempunyai 112 bilik dengan pelbagai kategori bilik dan kadar harga yang berbeza. Antaranya, Family Deluxe, Superior atau bilik Standard untuk anda yang mahu lebih berjimat cermat.
Bagi anda yang mahukan kelengkapan serba mewah, bolehlah memilih The Prime Suite Dan City Suite. Paling menarik, jika bernasib baik anda berpeluang untuk menikmati keindahan bandar Kluang dari balkoni bilik.
Malam terakhir misi penjelajahan tersebut kami bermalam di sini. Bilik-bilik yang disediakan sangat selesa dan memuaskan.
Kami berkesempatan menikmati makan malam dan sarapan pagi di Bistari Café & Restaurant dengan pelbagai pilihan hidangan yang enak dan cukup menambat selera.
Alamat: 20, Jalan Bakawali, Kampung Masjid Lama, 86000 Kluang, Johor
Laman web: Primecity.com
Lawatan hari ketiga sudah selesai, kita sambung lagi perjalanan hari terakhir, Colours of Lives Travelogue Malaysia di catatan akan datang.
BACA: WAH, PAGOH DAN MUAR PUN BANYAK DESTINASI MENARIK
Kredit
Colours of Lives Travelogue Malaysia dikendalikan oleh Borakkita.com dengan sokongan Tourism Malaysia. Manakala 123mamanet.com sebagai rakan media. Terima kasih juga kepada Tourisme Malaysia Johor.
Terima kasih kepada para penaja Colours of Lives Travelogue Malaysia – Johor (Utara),Kereta Sewa Gombak- Yushaz Car Rental,Kaseh HQ, Avox Streetwear,Marini Naturale Magic dan 888tea.