Dalam usaha membina masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera, Ceritera Sunnah dan Pertubuhan Ibu Bestari Selangor (PIBS) telah menganjurkan Program Amal Mesra bertemakan “Gaya Hidup Sihat” bertempat di Masjid Fastabiqul Khayrat, Batu 3, Shah Alam.
Program Program Amal Ceritera Sunnah & PIBS ini menjadi medan penting untuk memperkenalkan pasukan Ceritera Sunnah kepada ahli PIBS. Di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua pihak. Ia turut menjadi platform bagi menyampaikan mesej penting tentang penjagaan kesihatan secara menyeluruh – fizikal, mental dan emosi kepada masyarakat.
Ceritera Sunnah & PIBS – Bersama Memperkasa Komuniti
Ceritera Sunnah yang ditubuhkan pada tahun 2022 ini bermula sebagai platform media sosial yang berkongsi kisah rasul dan para sahabat. Kini, syarikat ini berkembang menjadi entiti yang aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Sementara itu, Pertubuhan Ibu Bestari Selangor (PIBS) pula adalah sebuah NGO yang menyokong wanita melalui dua kategori utama: PIBS VVIP yang menyokong wanita berdikari seperti ibu tunggal dan PIBS VIP yang membantu wanita berkahwin yang memikul tanggungjawab keluarga akibat suami yang uzur atau mengabaikan tanggungjawab.
Fokus PIBS adalah memperkasakan jati diri wanita dan menaik taraf kehidupan mereka melalui pelbagai program latihan serta kolaborasi bersama agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan dan pihak korporat.
Sokongan Padu Daripada Pelbagai Pihak
Program ini turut mendapat sokongan yang sangat memberangsangkan daripada pelbagai pihak yang turut sama menjayakan misi murni ini. Antara pihak yang memberi sokongan ialah Gardenia, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra, Persatuan Usahawan Murni Negeri Selangor (PUMNS), MyCARE, Masjid Jamek Fastabiqul Khayrat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Loving Life: Private Caregiver and Nursing, AQ Health, 7Days, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd, Sinchan Sport, Pusat Wanita Berdaya dan Beauxlim.
Kehadiran dan sumbangan semua pihak ini memperlihatkan komitmen bersama dalam mewjudkan masyarakat yang lebih prihatin, sihat dan saling menyokong.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Tuan Haji Azli Bin Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam dan YB Puan Siti Nur Aisyah Binti Mohd Zain, Ahli Majlis MPP Zon 8 Batu 3 Shah Alam yang menunjukkan sokongan penuh terhadap program berorientasikan komuniti ini.

Komuniti Sihat, Hidup Lebih Bermakna
Program Amal Mesra ini memperlihatkan bagaimana kolaborasi antara NGO, syarikat swasta dan institusi awam mampu memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat. Ia juga selari dengan trend global ke arah gaya hidup sihat, empati sosial dan pembangunan komuniti yang mampan.
Dengan pendekatan holistik dan penuh kasih sayang, Ceritera Sunnah dan PIBS komited untuk terus menjadi ejen perubahan – membantu wanita, keluarga dan komuniti untuk bangkit, sihat dan berdikari.