Jenama restoran perkhidmatan pantas ikonik dari Malaysia Timur, SugarBun Corporation Berhad (SugarBun) telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan Sedaplycious Sdn Bhd (Sedaplycious). Tujuannya adalah untuk memperluaskan kehadiran jenama ke Semenanjung Malaysia dan pasaran antarabangsa.
Langkah ini menandakan detik penting bagi jenama tempatan itu dalam membina kehadiran nasional yang lebih kukuh. Di samping membuka peluang pertumbuhan baharu dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Mengukuhkan Jejak Jenama SugarBun
Pengarah Urusan Borneo Oil Berhad, Datuk Joseph Ambrose Lee berkata, kerjasama ini akan memperkukuh kedudukan SugarBun di luar Sabah dan Sarawak.
“SugarBun akan membawa Broasted Chicken, Savoury Rice dan pelbagai sajian kegemaran Malaysia Timur ke komuniti baharu di seluruh Semenanjung. Dalam masa yang sama, kami akan membuka peluang pekerjaan, memperkasakan pembekal tempatan serta membuka peluang francais kepada para usahawan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Semenanjung Malaysia mempunyai populasi tiga kali ganda lebih besar berbanding Malaysia Timur. Ini menjadikannya pasaran strategik untuk pertumbuhan jangka panjang.
Tandatangan Perjanjian Regional Area Development Agreement
Perjanjian Regional Area Development Agreement ini telah dimeterai oleh anak syarikat SugarBun, SB Supplies & Logistics Sdn Bhd bagi melantik Sedaplycious sebagai master franchise partner rasmi.
Tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Datuk Nor Azam bin M. Taib.
“SugarBun adalah kisah kejayaan Malaysia Timur yang membanggakan. Berkembang ke Semenanjung Malaysia bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan baharu, malah turut memperkenalkan keunikan budaya Borneo melalui warisan kulinari yang kaya,” kata Datuk Ewon.
Peluang Francais SugarBun Express
Ditubuhkan lebih 40 tahun lalu di Sarawak, kini memiliki lebih 104 cawangan, terutamanya di Sabah, Sarawak dan Brunei. Dengan memperkenalkan model SugarBun Express, jenama ini membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan untuk menyertai rangkaian francais pada kos lebih rendah.
“Model SugarBun Express memudahkan penyertaan francais dan membolehkan kami membawa pengalaman menjamu selera yang berkualiti ke bandar kecil dan kawasan pinggir bandar yang kurang pilihan makanan,” tambah Joseph.
Kerjasama ini juga dijangka memberi impak ekonomi positif dengan meningkatkan penglibatan pembekal tempatan. Di samping mewujudkan peluang perniagaan baharu dan menyokong pertumbuhan industri francais makanan.
Sokongan & Visi Sedaplycious
Pengasas Sedaplycious, Sean Leong menzahirkan keyakinan tinggi terhadap penerimaan masyarakat Semenanjung terhadap citarasa unik Borneo.
Saya amat menggemari Broasted Chicken dan Savoury Rice SugarBun. Kami di Sedaplycious komited untuk memperluaskan jenama ini kerana saya yakin masyarakat Semenanjung akan menyukainya. Ini bukan sekadar perniagaan, tetapi juga satu misi untuk membawa cita rasa Borneo kepada lebih ramai komuniti,” katanya.
Pelancaran Tuhau Wild Ginger Chilli Sauce
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran produk terbaharu iaitu Bornean Tuhau Wild Ginger Chilli Sauce oleh Sabacco. Ia diinspirasikan daripada warisan Kadazan-Dusun di Sabah. Sos ini terkenal dengan rasa pedas masam yang berani, mencerminkan kepelbagaian biodiversiti Borneo.
Dengan pelancaran sos ini, SugarBun menyasarkan untuk memperkayakan lagi pilihan menu pelanggan di cawangan Semenanjung Malaysia dan pasaran luar negara.
Tentang SugarBun
Ditubuhkan di Sarawak pada tahun 1979, SugarBun ialah jenama restoran perkhidmatan pantas Halal tempatan yang kini mempunyai lebih 90 cawangan di Malaysia, Brunei dan pasaran antarabangsa. Jenama ini dikenali dengan Sarawak pepper-infused Broasted Chicken, Savoury Rice, Fish Burger dan house-made pickles yang menyatukan rasa Borneo asli dengan kualiti moden.
Dengan kerjasama bersama Sedaplycious, SugarBun komited untuk membina kehadiran nasional yang lebih kukuh dan membuka ruang ke pasaran global.

