Disayang Suami. Siapalah yang tidak mahu selalu disayangi suami. Kalau tanya Mamanet, hisshh… tentulah Mamanet suka. Rasa tenang dan bahagia jer bila sentiasa disayangi dan dimanjai suami!
Peranan Suami & Isteri
Sungguhpun begitu, setiap lelaki punya cara yang berbeza untuk menzahirkan kasih sayang seiring dengan karakter serta sifatnya yang tersendiri. Secara umumnya kebanyakan suami amat menyenangi isteri yang selalu menghargai suami, sabar, jujur dan setia.
Sebagai wanita yang sudah berkahwin, Mamanet percaya anda tentu mahu suami selalu sayang pada anda. Jadi, bagi membina kerukunan serta keharmonian rumah tangga agar suami tidak jemu dan tetap sayang pada anda, cuba praktikkan beberapa tip disayang suami yang Mamanet nyatakan ini.
5 Tip Disayang Suami
-
Sentiasa Hargai Dan Hormati Perasaan Suami
Sebagai seorang isteri anda wajib patuh dan bersopan santun dalam setiap pertuturan, baik pada suami mahupun kaum keluarga suami.
Biasakan bercakap dengan nada yang lembut, dan kawal setiap kata-kata anda sewaktu sedang marah. Elakkan bercakap dengan nada yang tinggi atau kasar yang pada akhirnya akan membuatkan suami tersinggung. Ungkapan yang kasar dan kotor, serta suka mengungkit boleh membuatkan anda nampak teruk di mata suami. Sekiranya anda sudah terlepas cakap, segeralah meminta maaf.
Di samping itu, jangan lokek untuk memberikan kata-kata pujian pada setiap usaha yang telah suami lakukan sekalipun bagi anda ia mungkin bersifat sederhana sahaja.
Walaupun nampak biasa, tetapi semua perkara di atas memberikan pengaruh besar pada kasih sayang suami terhadap anda.
Baca Juga: Bila Suami Curang
-
Jadi Wanita Yang Paling Cantik Di Mata & Hati Suami
Menjadi seorang wanita yang paling cantik di mata dan hati suami tidak semestinya cantik rupa sahaja! Anda perlu cantik luar dan dalam, barulah ‘ngam’!
Menjaga penampilan diri juga penting, dan kebanyakan suami menyenangi apabila melihat isterinya nampak kemas dan menarik. Jangan berikan seribu satu alasan yang klasik kerana sibuk mengurus anak dan sebagainya sehingga anda tidak sempat untuk berpenampilan menarik di hadapan suami.
Tak payahpun nak mekap berlebihan, memadai bersolek sederhana supaya indah dipandang suami. Tak adalah suami tengok anda seperti ‘mayat hidup’. Pancarkan kecantikan fizikal dan hati anda kepada suami tercinta. Biarkan suami tahu betapa istimewanya anda.
-
Kena Selalu “HOT” Di Ranjang
Tip Disayang Suami yang ketiga ini tak kurang juga pentingnya. Walaupun perkahwinan anda sudah berbelas tahun, anda pun bukan remaja lagi, tidak bermakna anda tidak perlu “hot” dengan suami.
Pertambahan usia dalam perkahwinan sebaiknya diiringi dengan ghairah cinta yang membara, sehingga hubungan anda tidak monoton dan sentiasa penuh dengan bunga-bunga cinta!
Isteri yang paling disayang suami adalah isteri yang pandai mengghairahkan suaminya, terutama ketika berada di atas ranjang. Kepuasan yang diberikan oleh isteri akan membuatkan suami semakin sayang dan cinta. Hubungan suami isteri juga akan menjadi semakin romantis dan mesra. Perasaan yang wujud itulah yang akan membuatkan perkahwinan anda berjalan lancar dan harmoni hingga ke akhir hayat.
Jadi, anda perlulah berusaha uantuk selalu kelihatan menarik dan mengetahui keinginan suami, bagaimana caranya untuk membuatkan suami anda penuh ghairah.Sesekali cubalah tampil cantik dan menggoda di malam hari di depan suami.
Baca Juga: Claypot Chicken Rice
-
Jaga Makan Minum Suami
Tip disayang suami yang keempat ini juga anda perlu berikan perhatian, sekalipun ada di antara anda yang memang tak suka masuk dapur sebab penat dan sebagainya.
Tahukah anda, isteri yang pandai memasak pasti mendapat nilai positif di mata suaminya. Meskipun ia bukan perkara yang utama, tetapi dengan kepandaian memasak, akan menambahkan lagi kasih sayang suami terhadap anda. Umumnya lelaki suka pada isterinya yang suka memasak makanan kegemarannya. Bahkan, suami pasti akan merindukan masakan isterinya setiap kali dia menjamah makanan di luar.
5 . Usah Cerewet, Suka Marah-Marah Dan Kuat Membebel!
Tip Disayang Suami yang terakhir, satu perkara yang paling dibenci suami pada isteri mereka adalah sikap cerewet, suka marah-marah tak tentu fasal dan sikap kuat membebel.
Saban hari anda tentu berasa penat kerana seharian menguruskan tugas di pejabat dan di rumah. Menguruskan anak-anak pun satu hal. Namun, itu adalah perkara yang normal dan sering dirasakan oleh semua wanita yang bekerjaya dan berkahwin dan anda tidak perlu memperbesar-besarkannya. Jika setiap saat anda mengeluh, membebel pada suami, maka akan meninggalkan kesan tidak iklas di mata suami. Bahkan, suami anda pula akan beranggapan anda bukan lagi isteri yang cekal dan tabah.
Jika ada yang tak kena, cubalah bawa berbincang. Kemarahan hanya akan mengundang perselisihan faham yang lebih teruk dan akan membawa pada perang mulut yang maha hebat. Sebagai isteri, anda perlu lebih memahami dan saling menyokong di antara satu sama lain. Hargai setiap apa yang telah dilakukan suami untuk anda.
1 thought on “Rahsia Disayang Suami Untuk Selamanya!”