Pagari Bulan, adalah kisah inspirasi dan patriotik yang dapat merentasi masa. Malam Gala Tayangan Perdana Pagari Bulan yang berlangsung baru-baru ini merupakan majlis yang tidak hanya menggambarkan kilauan gemerlapan lampu di atas karpet merah.
Sebaliknya, turut menyinari semangat kebangsaan dan keberanian kaum wanita yang memperjuangkan kemerdekaan mereka dari penindasan askar Jepun semasa Perang Dunia II.
Pagari Bulan Papar Perjuangan Wanita
Filem Pagari Bulan diterbitkan oleh Eleven Field Creative Sdn Bhd, ia bukan sekadar filem, tetapi juga sebuah persembahan seni yang menginspirasi dan memperingati semangat patriotik dan keberanian wanita.
Manakala pengarahnya, Ts Raja Mukhriz, memilih dengan berani Nazeera Sardi sebagai wajah utama filem ini. Dalam watak yang mencabar, Nazeera Sardi menonjol sebagai pejuang wanita yang memartabatkan kaumnya.
Namun, kekuatan filem ini bukan sahaja bergantung kepada satu bintang, malah dibarisi oleh barisan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Aniq Durar, Trisha Oii, Andy The, Alvin Wong dan Michael Ang. Mereka memberikan kelahiran semula kepada kisah yang memilukan ini dengan penampilan hebat mereka.
Idea filem Pagari Bulan ini datangnya daripada Ellyna Ahmad dan Ts Raja Mukhriz. Mereka dengan berani mengeksplorasi tema yang belum pernah diketengahkan dalam filem Malaysia – kisah ‘comfort women’. Pagari Bulan memberikan suara kepada mereka dalam sejarah yang mungkin jarang kita dengar.
Skrip dan lakon layar ‘Pagari Bulan’ ditulis dengan penuh semangat oleh Siti Jasmina Ibrahim yang memberikan kehidupan kepada karakter-karakter yang mendalam dan kuat dalam filem ini.
Sipnosis Pagari Bulan
Dalam suasana Perang Dunia II, Kota Bharu diserbu oleh tentera Jepun pada Disember 1941. Bulan, seorang gadis Melayu yang kuat, bersama dengan adiknya Kasih dan sahabatnya Sui Li, ditangkap dan dipaksa menjadi ‘comfort woman’ oleh tentera Jepun.
Penduduk kampung, termasuk ayah Bulan, Ismail dan Ah Leong berusaha menyelamatkan anak-anak mereka dari penjajahan kejam tentera Jepun. Mereka ditemani oleh Leftenan Miura, seorang tentera Jepun yang menentang kekejaman.
Kisah ini penuh dengan ketegangan, perjuangan dan percintaan terlarang antara Bulan dan Miura. Ending yang tak terduga menjadikan Pagari Bulan sebagai perjalanan emosional yang mengharukan, di mana cinta dan harapan tumbuh di tengah penderitaan dan kegelapan perang!
Review Dari Mamanet
Filem Pagari Bulan adalah sebuah karya yang mengesankan secara keseluruhan, meskipun ada beberapa kekurangan dalam lakonan dialek dan mungkin sedikit panjang dalam beberapa adegan. Apapun,filem ini menawarkan campuran yang menarik antara kisah sejarah, pengalaman wanita dalam masa perang dan elemen misteri yang menjadikan penonton tidak berganjak dari tempat duduk untuk mengetahui kesudahannya.
Cabaran Unik Para Pelakon
Penggunaan bahasa Jepun dan dialek Kelantan dalam filem ini menambahkan kedalaman dan kenyataan kepada penggambaran sejarah dan tempat di mana cerita ini berlaku.Ia menghadirkan satu cabaran unik – para pelakon perlu memainkan peranan mereka dalam bahasa Jepun dan dialek Kelantan.
Ini bukan perkara mudah, tetapi dengan kesungguhan mereka untuk menghidupkan watak masing-masing, mereka berjaya menghadapinya dengan baik.Ia juga menunjukkan komitmen yang kuat dari seluruh pasukan produksi untuk menyampaikan pengalaman yang autentik kepada penonton.
Baca Juga:
Movie Review: Filem Fanna
Pasar Pasir Penambang Kuala Selangor
Antara Bulan dan Leftenan Miura
Sebahagian besar pelakon dalam filem ini memberikan penampilan yang meyakinkan. Nazeera Sardi menonjol pemegang watak utama sebagai Bulan dan penonton dapat merasakan emosi dan perjuangannya.
Begitu juga dengan pelakon Aniq Durar. Pagari Bulan adalah peluang luar biasa untuk membuktikan bakat barunya sebagai seorang ‘hero.’ Dia mencipta watak Leftenan Miura dengan cara yang unik dan membuatkan penonton ternanti-nanti babak kemunculannya!
Elemen Persahabatan
Filem ini turut menggambarkan bagaimana Bulan dan Sui Li berusaha untuk bertahan hidup di bawah pemerintahan yang zalim oleh tentera Jepun. Mereka menghadapi pelbagai cabaran dan bahaya, namun keduanya tetap berusaha mengekalkan persahabatan mereka hingga ke akhir hayat.
Aspek menarik dalam cerita ini adalah cara ia menggambarkan hubungan antara dua budaya yang berbeza semasa zaman perang. Ia boleh menjadi kisah tentang persahabatan yang kukuh yang lahir di tengah-tengah konflik dan penderitaan.
Sinematografi Menarik
Meskipun cuaca hujan menjadi ‘pelakon tambahan’ dalam banyak adegan,namun filem ini tetap memukau melalui hasil sinematografinya yang mengagumkan. Ia menambah daya tarik visual. Pagari Bulan membawa penonton pada perjalanan emosional yang tidak akan dilupakan.
Pengakhiran Yang Kurang Jelas
Penamat yang tak disangka adalah salah satu elemen yang paling menarik dalam filem ini. Siapa yang memegang gambar Bulan menjadi teka-teki yang akan merangsang penonton untuk merenung lebih mendalam lagi. Mungkin ini adalah cara yang agak cemerlang untuk membuatkan penonton terus merenung cerita ini selepas menontonnya.
Kesimpulan
“Pagari Bulan” adalah sebuah pengalaman sinematik yang kuat yang membawa penonton ke dalam dunia perang yang penuh tekanan.
Filem ini bukan sahaja memaparkan kisah perjuangan wanita yang menggetarkan jiwa. Tetapi juga menggarap tema pengorbanan dan kecintaan terhadap budaya dan tanah air.
Sutradara Raja Mukhriz Raja Ahmad dan penerbit Sharifah Shahora layak dipuji atas usaha mereka, berjaya menghadirkan kisah ini dengan penuh emosi dan keteguhan.
Dalam “Pagari Bulan,” kita dapat melihat bagaimana wanita-wanita hebat menjadi penentu kekuatan dan keunggulan dalam masa-masa yang penuh dengan ujian.
Jadi, saksikan sendiri kehebatan filem Pagari Bulan mulai 5 Oktober 2023 di pawagam terpilih di seluruh Malaysia dan Singapura.
Nota: Setiap ulasan filem boleh bersifat subjektif dan pandangan mengenai filem boleh berbeza-beza antara individu yang lain. Harap maklum.
2 thoughts on “Review: Pagari Bulan(2023)Kisah Penuh Emosi!”