Program Forum Leterasi Undang-Undang Syariah: Menganiaya Isteri, Menzalimi Suami. Are You Ok? ini telah berlangsung dari jam 9 pagi sehingga jam 4 petang bertempat di Dewan Rafflesia, Bangunan NIOSH, Bangi.
Forum ini merupakan anjuran Wanita Ikon Selangor dan Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PGSM) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM), PGSM SELANGOR dan National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH).
Objektif utama program forum tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai keganasan rumah tangga serta golongan terbabit memahami hak-hak mereka dan seterusnya mendapat pembelaan yang sewajarnya, khususnya buat golongan B40 serta ibu tunggal.
Program Forum Leterasi Undang-Undang Syariah: Menganiaya Isteri, Menzalimi Suami. Are You Ok? telah dihadiri lebih daripada 100 orang, termasuk penampilan istimewa Ikon Negeri Selangor iaitu Datin Rita Sosilawati, NGO dan ahli PGSM serta tiga orang panel terhormat.
Panel yang terlibat ialah Dato’ Dr Mohd Zaidi Bin Hj Md Zain (D.I.M.P)- Dari Sudut Syariah, Dato’ Hazizah Binti Kassim (D.I.M.P) – Dari Sudut Undang-Undang dan Datuk Dr. Norhafizah Musa – Dari Sudut Hukum Syarak. Tuan Mohd Ridhwan Husin merupakan moderator forum tersebut.
Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Pengerusi Majlis serta bacaan doa. Seterusnya dipesembahkan pula ucapan serta penerangan ringkas berkaitan Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) daripada Tuan Musa Bin Awang, selaku Presiden PGSM (Induk).
Untuk pengetahuan semua, BAGUS merupakan Pusat Bantuan Guaman Syarie, yang mana menyediakan khidmat bantuan guaman (Advocacy Support) iaitu mewakili pihak-pihak untuk membuat tuntuan atau menjawab tuntuan (mal sahaja) di Mahkamah Syariah, dengan kos yang minimum, yang dibayai oleh pihak kerajaan.
Dengan adanya pusat guaman yang sedia membantu, tentunya lebih ramai lagi golongan terbabit yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan hak mereka yang sepatutnya.Lebih-lebih lagi kos untuk ke mahkamah bagi memfailkan tuntuan dan juga kos guaman bukanlah murah.
Bercakap tentang kelayakan bantuan untuk mendapatkan bantuan guaman syarie BAGUS , ia ditentukan berdasarkan dua kategori. Yang pertama adalah golongan B40 yang bergaji dan berpendapatan isi rumah sebanyak RM4,850 sebulan dan ke bawah (bawah RM58,200 setahun)
Manakala kategori kedua pula ialah golongan M40 yang memperoleh gaji dan pendapatan isi rumah antara RM4,851 sebulan sehingga RM10,970 sebulan (antara RM58,212 hingga RM131,640 setahun)
Kemudian majlis diserikan dengan penampilan Ikon Wanita Selangor 22, Datin Rita Sosilawati. Beliau berkongsi serba sedikit tentang fenomena keganasan rumah tangga serta melahirkan rasa gembira kerana berpeluang berkolaborasi dengan BAGUS untuk membantu membuka ruang serta meringankan beban golongan terbabit, khususnya dalam menjana ekonomi mereka yang mungkin tidak stabil setelah ditinggalkan.
Membawa “Are You Ok?”, Datin Rita sekali lagi menyambung usaha murninya untuk berbakti kepada masyarakat Malaysia. Menurut beliau yang sebelum ini telah menjalinkan kerjasama dengan UiTM, menerusi penubuhan sebuah pusat iaitu “Are You Okay Centre”, jalinan kerjasama dengan BAGUS ini adalah dua perkara yang berbeza.
“Sebelum ini tangani isu-isu berkaitan psiko-sosial dan kesihatan mental, tetapi kali ini lebih menjurus kepada masalah keganasan rumah tangga,” tambah beliau.
Selepas itu, barulah Program Forum Leterasi Undang-Undang Syariah: Menganiaya Isteri, Menzalimi Suami. Are You Ok? diperbincangkan oleh tiga ahli panel yang sememangnya pakar dalam bidang masing-masing.
Antara intipati forum yang disampaikan, menyeru supaya golongan ataupun mangsa yang mengalami keganasan rumah tangga tidak berdiam diri kerana mereka punya hak yang boleh diperjuangkan.
Di samping itu, turut dijelaskan bahawa kehancuran dalam sesebuah institusi kekeluargaan terjadi apabila pasangan mula bertindak zalim serta mengabaikan tanggungjawab terhadap pasangan. Keganasan bukan sahaja berlaku secara fizikal, tetapi juga dalam bentuk seksual, ekonomi dan emosi.
Ketidaksefahaman dalam rumah tangga, masalah ekonomi dan kurangnya pegangan agama dalam kehidupan merupakan antara faktor mengundang keganasan berlaku.
Di akhir program tersebut, turut diadakan sesi soal jawab (Q &A) antara panel dan para hadirin.
Memandangkan masalah keganasan rumah tangga semakin hari, semakin meningkat, jadi marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing untuk menyebarkan kesedaran serta kefahaman kepada semua untuk bersama-sama menanganinya. Secara tak langsung, kita dapat membantu golongan ataupun individu terbabit dalam keganasan rumah tangga tersebut untuk kembali bangkit!