Siapa yang tidak ingin menjadi orang kaya, bahkan orang kayapun masih mahu menjadi yang lebih kaya lagi tapi bila dah kaya raya tu, janganlah tak bayar zakat.
Dalam temubual eksklusif team Mamanet, bersama Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Ali, menyeru umat Islam menangkis tabiat yang mengatakan diri tidak kaya atau berada sedangkan segala-galanya lebih daripada mencukupi.
Sebagai seorang yang beragama Islam sudah pasti kita tahu bahawa zakat merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam yang wajib kita laksanakan. Kewajipan tersebut kenakan bagi mereka yang telah memenuhi syarat-syarat tertentu seperti mencapai nisab dan haul.
Menurut beliau, sepertimana dalam firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 103:
“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan jiwa dan berdoalah untuk mereka,…”
Kenyataan ini jelas menunjukkan Allah S.W.T akan membersihkan dan menyucikan harta serta jiwa orang-orang yang sentiasa berzakat kerana keredhaan-Nya.
Dengan mensucikan harta melalui zakat, Allah akan melimpahkan keberkatan kepada kita. Antaranya, ketenangan jiwa, kesihatan yang baik dan bebas daripada masalah, kesulitan hidup dan sebagainya.
Malahan, tak ada seorang pun di dunia ini akan jadi papa kedana kerana berzakat. Sebaliknya, rezeki mereka akan terus mengalir semakin banyak dengan izin Allah. Orang-orang yang selalu berzakat kerana Allah, hartanya juga akan dilipatgandakan oleh Allah S.W.T.
Seru Orang Kaya Supaya Berzakat
Datuk Che Mat menambah, saya berharap dan menyeru orang-orang berada atau kaya yang masih merasakan dirinya tidak berada itu untuk membayar zakat.
Di Malaysia, dianggarkan 40 peratus yang beragama Islam bergelar hartawan, jutawan, berpendapatan tinggi dan mempunyai banyak aset dalam negara mahupun luar negara, tetapi lari daripada tanggungjawab membayar zakat. Ini adalah tidak adil.
Allah S.W.T berfirman dalam Surah At-Taubah: ayat 103, mafhumnya, bahawa dalam setiap harta yang dimiliki itu sebahagian daripadanya adalah milik orang lain.
“Tanpa disedari, terdapat 2.5 peratus daripada harta kita sebenarnya dimiliki oleh orang lain dan kita mesti bayar zakat! Saya juga berharap golongan pencen yang berjawatan tinggi, tidak lupa atau mencari 1001 macam alasan untuk tidak membayar zakat. Jadilah orang kaya yang bersyukur,” katanya.
Beliau menambah, “Pendapatan berpuluh ribu, simpanan pula sudah melebihi RM 14,772.00 setahun, mampu melancong dan berhibur ke sana sini, tetapi masih liat untuk membayar zakat.”
“Bersedekah korban di Kemboja atau membina rumah anak-anak yatim di Terengganu itu adalah satu ibadah sunat, sedangkan zakat adalah ibadah wajib dengan syarat tertentu seperti cukup nisab dan haul. Bersedekah korban di Kemboja atau membina rumah anak-anak yatim di Terengganu, semua itu tidak termasuk dalam zakat yang dikeluarkan di Wilayah Persekutuan.
“Berikan zakat, dan bersihkan tempat kamu mencari rezeki. Jangan bawa ke mana-mana harta kamu, sedangkan tanggungjawab lebih 25 ribu orang golongan asnaf fakir miskin sedang menanti bantuan tersebut,” jelas beliau lagi.
Allah Murka Orang Yang Tak Bayar Zakat
Jika jumlah kutipan zakat meningkat, lebih ramai asnaf (yang layak) dapat dibantu. Tambahan pula, kos kehidupan hari ini semakin tinggi.
Datuk Che Mat turut berpesan, mana-mana golongan yang berkemampuan, khususnya kaum elit, sebelum menunaikan haji, umrah mahupun berlibur ke Balkan sekalipun, bayar zakat dulu.Allah murka kepada orang yang tak bayar zakat.
Dalam surah Al Mulk telah memperjelaskan, “Apakah belum pernah datang orang yang memberi peringatan kepada kamu?” “Ya, tetapi kami mendustakannya.”
“Usahlah beri 1001 alasan. Sejak tahun 1978, pendapatan pertama ketika bekerja di JAKIM saya dah bayar zakat. Kenapa mesti takut nak bayar zakat? Takut tak cukup? Sedangkan kita kena tengok nisabnya. Bahkan dalam dunia, hanya di Malaysia sahaja yang memberikan kelonggaran kepada umat Islam dalam bab cukai ini. Semua ini sudah termaktub ketika zaman pemerintahan Almarhum Tuanku Abdul Rahman lagi, menerusi Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, di bawah Seksyen 6A(3) yang memberikan pioriti kepada orang Islam.Ini bermakna, jumlah cukai dapat dikurangkan dengan pembayaran zakat. Rebat akan diberikan jika sesorang itu membayar zakat.
Peningkatan Prestasi Zakat Tahun 2018
Setelah PPZ-MAIWP mengadakan pelbagai kempen berzakat, nampaknya ramai yang sedar kewajipan ini. Untuk tahun 2018 lalu, PPZ-MAIWP telah berjaya mengutip sebanyak RM651,228,03.94.
“Peningkatan tu menang ada, jika nak dibandingkan dengan awal tahun 90an dahulu. Sekarang ini, lebih 70% golongan kaya yang bayar zakat, RM20 ribu sebulan. Zakat adalah satu peringatan untuk orang-orang kaya, Allah berikan rezeki yang berlipatkali ganda dan harta di dunia ini adalah pinjaman semata-mata. Allah ada kuasa untuk memberi dan menarik balik segala nikmatnya kepada sesiapa yang alpa dan lalai.
Zakat adalah salah satu cara untuk mereka menyucikan hara selain sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Kita mengharapkan lebih ramai lagi pembayar zakat, walaupun tahun demi tahun menunjukkan pertambhaan yang positif. Golongan asnaf di Wilayah Persekutuan, lebih daripada 27 ribu orang dan beberapa tahun lepas pernah mencecah 28 ribu. Kita mahu mengeluarkan lebih ramai golongan asnaf daripada kepompong kemiskinan, di samping mahu memperkasakan ekonomi umat Islam,” jelas beliau panjang lebar.
Sebelum mengakhiri perbualan Datuk Che Mat Ali sekali lagi berpesan kepada golongan yang berkemampuan supaya tidak lupa untuk menunaikan kewajipan berzakat serta menggunakan saluran bayaran zakat yang disediakan oleh PPZ-MAIWP.
Usah bertangguh lagi atau memberikan seribu satu alasan. PPZ-MAIWP telah menyediakan pelbagai saluran pembayaran zakat untuk memudahkan orang ramai khususnya golongan berada menunaikan kewajipan masing-masing. Jadi, segeralah bayar zakat!
Keterangan lanjut, sila layari www.zakat.com.my