BERHENTI Kerja. Perasaan sedih saat meninggalkan anak di taska mahu pun pengasuh, hanya Allah sahaja yang tahu. Bayangkan si kecil meraung memegang pintu pagar sambil cuba ditenangkan oleh pengasuh. Sedangkan anda terpaksa berlalu meninggalkannya lantaran panggilan ‘punch card’ – tiada masa memujuk.
Sepanjang perjalanan ke pejabat, tentu hati anda pun menangis. “Sabarlah sayang. Petang nanti ibu ambil. Ibu belikan mainan kegemaran sayang.”
Kata-kata keramat yang sekadar mahu melampias rasa bersalah. Tiba di ofis, rakan-rakan dan kerja sudah menanti. Kita sudah lupa sebentar anak yang ditinggalkan. Keasyikan menyelesaikan kerja yang bertimbun membuatkan kita berasa tenang. Tidak terfikir perasaan si anak yang telah ditinggalkan tanpa rela.
Bagaimana harus tangani beban perasaan sebelum berhenti kerja?
Bukan semua ibu mampu untuk berhenti kerja demi anak. Tidak semua ibu bertuah untuk membuat keputusan berhenti kerja demi keluarga. Tidak ramai ibu yang sanggup menghadapi cabaran dan mahu menjadi ibu bekerja dari rumah secara solo. Tiada gaji tetap, tiada bos, tiada rakan sekerja dan tiada pangkat!
IBU BEKERJA MASIH PUNYA CARA
Bagi ibu yang masih bekerjaya, usah terlalu rasa bersalah. Berikut ialah beberapa tip yang dapat dikongsi oleh ibu bekerjaya.
1. Masa berkualiti bersama keluarga dan anak
Luangkan waktu kualiti bersama anak dan keluarga. Setiap anak pasti menginginkan masa berkualiti untuk bersama ibu bapa. Layan anak bermain atau libatkan anak-anak dengan kerja rumah walau pun dia tidak membantu apa-apa. Contohnya beri dia sebiji buah tomato ceri, pinggan plastik dan senduk kayu waktu anda sibuk memasak.
2. Kawal emosi marah
Setiap kali pulang dari kerja pasti anak-anak akan membuat perangai kerana mahukan perhatian anda. Saat itu anda pula anda perlu memasak atau ada slot drama kegemaran yang mahu ditonton. Bila jeritan anak semakin kuat, hentikan kerja anda serta-merta. Lakukan dua teknik ini sebagai landasan untuk anda tidak marah. Duduklah dan baca Bismillah sebelum minum air sejuk atau air kosong. Kedua, bertenang dan diam seketika, istighfar sambil bernafas dengan betul hingga reda rasa marah.
BACA INI
3. Pulang awal
Sesekali ambillah cuti tahun separuh hari atau pulang awal selepas habis tugasan. Jika tidak boleh, usahakan untuk datang waktu tengah hari jika taskanya hampir dengan ofis anda. Usah berkira dengan waktu atau wang yang anda bayar pada pengasuh.
Jika anda pulang awal, ambillah anak awal. Ada juga ibu atau bapa yang pulang awal tapi terus pulang rumah dulu dan tidur. Kemudian waktu hampir maghrib baru datang ambil anak kerana terlalu berkira dengan pengasuh.
Dalam apa pun kondisi, utamakan anak-anak kita. Usah jadikan dia pilihan kedua atau kurang penting bagi anda. Cuba bayangkan waktu kita masa kecil dulu. Saban hari kita menunggu ibu bapa kita pulang dari kerja hingga bunyi enjin motornya pun sudah kita cam. Ingatlah, penantian itu satu penyiksaan. Lapan jam sudah begitu lama, bagaimana jika si kecil terpaksa menunggu hingga 12 jam? Tepuk dada tanya hati.
ANDAI ITU TAKDIRNYA
Jika saranan di atas sudah tidak berkesan pada anda, ya anda mungkin perlu buat keputusan penting. BERHENTI kerja bukanlah teruk sangat kerana wanita sentiasa peka dengan keperluan ekonomi tidak kira di mana pun mereka berada. Berhenti dan bekerja dari rumah, mungkin merupakan solusi terbaik.
Bagaimanapun anda harus ingat, kerja di rumah pun sangat banyak dan meletihkan. Jadi, jangan sampai anak anda lebih terabai berbanding waktu anda bekerja di pejabat dulu.
Artikel: puanlizaali@blogspot.com